Lahad Datu: Tiga maut manakala dua parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 30 Jalan Sandakan – Lahad Datu, berhampiran Ladang Mensuli, di sini, pagi tadi.
Identiti ketiga-tiga mangsa yang meninggal dunia belum dapat dikenal pasti, setakat ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Penolong Penguasa Bomba, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkenaan kemalangan membabitkan dua kenderaan jenis Land Cruiser dan Perodua Bezza, jam 9.04 pagi.
Katanya, seramai lapan anggota termasuk pegawai bersama sebuah jentera dan EMRS dari BBP Lahad Datu dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan berkenaan.
“Terdapat lima mangsa terbabit iaitu tiga dari empat mangsa dalam Perodua Bezza disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan manakala seorang lagi mangsa perempuan berusia 16 tahun cedera parah.
“Pemandu Land Cruiser lelaki berusia 50 tahun turut parah dan kedua-dua mangsa yang parah dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba kemudian bertindak melakukan pembersihan di kawasan kemalangan dan membuat pemeriksaan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain.
“Maklumat mangsa yang terkorban tidak dapat diperolehi.
“Operasi ditamatkan pada jam 12 tengah hari tadi,” katanya.
-Deasoka