Kota Kinabalu: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) lebih utuh atau kuat dengan identitinya sendiri selepas didaftarkan secara rasmi dan menjadi entiti baharu politik Sabah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Fairuz Renddan yang gembira dengan pencapaian itu, berkata GRS kini mampu berdiri dengan lebih baik demi rakyat dan pembangunan Sabah.
“Saya yakin inilah langkah seterusnya yang diterajui kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
“GRS kini akan lebih fokus dan kuat untuk bergerak dan bekerja kerana asas kepada GRS kini sudah berdiri dan insyaAllah, pasti akan semakin kuat hari demi hari,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Fairuz yang juga Ketua ARMADA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah menegaskan halatuju GRS adalah untuk terus memastikan segala perancangan dan agenda pembangunan rakyat dapat dilaksanakan dalam usaha memulihkan negeri ini daripada kemelut ekonomi.
Jelasnya, dugaan yang berat itu memerlukan kerjasama semua pemimpin yang bernaung bersama di bawah entiti GRS untuk mengatasinya.
“Apa yang penting, kita akan sentiasa berdiri di landasan utama untuk negeri Sabah, rakyat Sabah dan saya yakin semua parti komponen yang berada bersama dalam GRS akan bekerja keras untuk merealisasikan segala harapan dan menyelesaikan segala permasalahan rakyat,” katanya.
Semalam, Hajiji mengumumkan penerimaan pendaftaran GRS pada 11 Mac lalu oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) sekali gus menjadikannya sebuah entiti politik baharu.
-Deasoka