Pendaftaran GRS tingkatkan keyakinan rakyat

Pendaftaran GRS tingkatkan keyakinan rakyat

Kota Kinabalu: Pendaftaran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan meningkatkan lagi keyakinan rakyat Sabah kepada kerajaan sekali gus membawa kestabilan politik di negeri ini.

Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Robert Tawik berkata, pendaftaran GRS sebagai parti politik rasmi sekali gus mengukuhkan lagi kerjasama serta memantapkan kesepakatan dalam GRS.

Katanya, ia secara tidak langsung mampu membawa kebaikan kepada Sabah dari segi pembangunan selari dengan halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Saya menyokong saranan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan timbalannya, Datuk Seri Bung Moktar dalam soal ini (daftar GRS).

“Ini kerana dengan pendaftaran gabungan politik ini secara rasmi, ia pasti akan membawa kebaikan kepada Sabah,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor turut mengambil contoh di Sarawak yang dilihat mempunyai gabungan politik yang rasmi dan terbukti diterima rakyat di negeri itu.

“Lihat sahaja negeri Sarawak. Sekarang sudah mempunyai gabungan yang rasmi iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan ia terbukti diterima oleh rakyat Sarawak apabila mendapat majoriti yang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

“Saya yakin dan percaya, ia sudah tentu akan meningkatkan keyakinan rakyat Sabah terhadap kerajaan GRS, ” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|