Kota Kinabalu: Kira-kira 150 usahawan kecil dan sederhana di negeri ini bersedia untuk menempusi pasaran antarabangsa khususnya Brunei selepas berjaya didaftarkan dalam platform EJazmine iaitu sebuah syarikat penyedia e-dagang sepanjang tiga hari Expo Keusahawan Wanita Antarabangsa Sabah (SIWE 2022) yang diadakan di Kota Kinabalu.
Pengerusi Eksekutif Euro Jasmine Holdings Sdn Bhd, Datuk Seri Mohd Rizal Mohd Yusuf berkata, menerusi kerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) itu juga pihaknya berjaya menarik lebih 100,000 ‘view’ di dalam platform berkenaan termasuk dari Brunei bagi Program Jualan Jelajah Ramadan Brunei yang bermula akhir bulan ini.
“Selama bermulanya Expo pada Khamis lalu sehingga hari ini (semalam), kita sudah mencapai lebih 100,000 view dan nampaknya kita berpuas hati dengan pencapaian ini.
“Kita juga sudah ada kira-kira 150 vendor iaitu usahawan baharu di Sabah yang menandatangani dengan EJazmine untuk mereka pasarkan produk secara digital bukan saja untuk pasaran tempatan malah ke luar negara khususnya Brunei.
“Jadi, kita jangkakan untuk hari seterusnya kita fokus kepada Jualan Jelajah Ramadan Brunei di mana kita akan bekerjasama dengan MDEC untuk membawa produk terus ke Brunei dan sekiranya sempadan dibuka bermula 1 April kemungkinan besar kita juga ke Brunei untuk memasarkan secara praktikal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada hari terakhir SIWE 2022 diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, semalam.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa pihaknya dalam perancangan untuk membuka hab di Sabah dan Sarawak bagi memudahkan pertukaran barang untuk pasaran di Brunei.
“Kita akan buat secara dalam talian kerana selama ini sukar untuk barang masuk ke Brunei tetapi dengan adanya kerjasama dengan syarikat kurier jadi tiada masalah.
“Namun dalam masa sama, kita merancang untuk membuka hab di Sabah dan Sarawak untuk memudahkan pertukaran barang antara dua negeri menggunakan jalan darat dan sempena berita baik bahawa kerajaan akan membuka pintu sempadan, sudah tentu kita dapat menembusi pasaran ke Brunei dengan lebih dekat secara digital selari dengan kehendak MDEC,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Rizal menyeru lebih ramai usahawan di negeri ini merebut peluang dengan platform EJazmine bagi memasarkan produk tempatan masing-masing dan seterusnya mengembangkan perniagaan mereka ke pasaran luar negara.
“Kita juga mengambil keputusan membuka peluang ini kepada semua usahawan sama ada yang sudah memiliki sijil halal atau belum serta mereka yang sedang dalam proses mendapatkan sijil halal untuk mendaftar di platform ini.
“Kita juga menyediakan latihan-latihan bagaimana untuk menjadi seorang peniaga dalam platform ini dan kami akan bantu usahwan yang belum mendapat pensijilan halal supaya mereka dapat menembusi pasaran luar negara,” katanya.
-Deasoka