Beaufort: Hanya tekad dan harapan yang menjadi iltizam kepada Jeremy Sundang untuk menguatkan semangatnya dalam mencari anak kesayangannya, Jude Angel, 18 bulan, yang masih hilang.
Ketika ditemui, petani berusia 39 tahun itu gagal menahan sebak apabila mengenangkan nasib anak perempuannya namun masih menaruh harapan besar bahawa Angel masih hidup sehingga ke hari ini.
“Meskipun kami tahu operasi mencari (pihak penyelamat) akan berakhir pada esok hari, tetapi kami sekeluarga tetap meletak harapan tinggi.
“Jauh di sudut hati saya sebagai seorang bapa, dia (Jude Angel) masih hidup dan firasat kami dia masih ada lagi,” katanya ketika ditemui di lokasi.
Terdahulu, dalam kejadian bermula kira-kira Sabtu lalu, mangsa dikatakan hilang selepas keluar daripada rumah keluarganya di Kg Saliwangan Baru, Batu 66, Beaufort.
Insiden berkenaan turut menjadi tular di laman sosial dengan operasi pencarian melibatkan pasukan polis, bomba, RELA, APM serta penduduk kampung.
Dalam pada itu, Jeremy turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus lumus terlibat dengan usaha pencarian terbabit.
Ketika ditanya sama ada terdapat petanda atau petunjuk setakat ini, beliau mendedahkan tiada perkara pelik berlaku.
“Bagaimanapun sebelum kejadian, saya ke tamu dia (Angel) kelihatan agak manja dengan menangis yang mana secara kebetulan dia kurang sihat sebab gigi baru tumbuh.
“Dia juga ada meminta dukung dan naik ke atas badan saya, saya kemudiannya mendodoinya sehingga tertidur,” katanya lagi ketika ditemui Deasoka.com.
-Deasoka