Banteras rasuah anggota penguatkuasa – SPRM Sabah

Banteras rasuah anggota penguatkuasa – SPRM Sabah

Tawau: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah komited membanteras kegiatan rasuah membabitkan penjawat awam, khususnya pegawai dan anggota penguatkuasa di negeri ini.

Pengarahnya, Datuk S Karunanithy berkata forum anti rasuah untuk penguatkuasa antara langkah bagi membanteras jenayah itu termasuk yang membabitkan aktiviti rentas sempadan.

Karunanithy (tengah) bersama anggota penguatkuasa yang menyertai forum pembudayaan anti rasuah di Tawau.

Katanya, pembudayaan anti rasuah dalam kalangan penguatkuasa khususnya di daerah ini sangat perlu memandangkan ia terdedah terhadap aktiviti jenayah rentas sempadan.

“Daerah Tawau mempunyai banyak pintu masuk ataupun lorong tikus yang sudah pasti mendorong berlakunya aktiviti penyeludupan atau ketirisan barang kawalan.

“Ketirisan ini biasanya berlaku disebabkan wujudnya amalan rasuah dan ia boleh menyebabkan kerugian yang besar kepada negara,” katanya pada forum pembudayaan anti rasuah penguatkuasa dalam pembanterasan jenayah rentas sempadan, di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata, statistik menunjukkan pegawai dan anggota penguatkuasa yang terlibat dalam gejal rasuah di negeri ini masih terkawal dengan hanya 11 tangkapan dari 2019 hingga bulan ini.

Katanya, walaupun angka itu kecil, ia tidak bermaksud amalan rasuah dalam kalangan penguatkuasa adalah rendah kerana mungkin masyarakat tidak tampil membuat laporan.

“Saya menyeru kepada masyarakat untuk tampil membuat laporan sekiranya berlaku amalan rasuah dalam kalangan penguatkuasa,” katanya.

Ketika ini, katanya Sabah diancam pelbagai aktiviti haram seperti penyeludupan manusia, barang subsidi, dadah dan banyak lagi.

“Persoalannya, kenapa semua ini berlaku walaupun pelbagai agensi seperti Kastam, Polis Diraja Malaysia (PDRM), ESSCOM, KPDNHEP, Maritim Malaysia dan Imigresen diwujudkan.

“Justeru, sebagai penjawat awam yang diberikan amanah dan tanggungjawab seharusnya berasa malu kerana penjenayah lebih berkuasa daripada kita,” katanya.

Karunanithy berkata, anggota penguatkuasa tidak boleh berpeluk tubuh dan berdiam diri dalam menangani isu sempadan terutama jenayah yang kerap berlaku di depan mata.

Dalam pada itu, Karunanithy berkata SPRM bercadang untuk mengadakan forum pembudayaan anti rasuah di seluruh Sabah dengan membabitkan semua pegawai dan anggota penguatkuasa.

Katanya, selepas Tawau, SPRM Sabah akan mengadakan forum yang sama di Kota Kinabalu dan Sandakan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|