Penduduk Kampung Sinompuru Sungai Simpang, Sandakan, rayu kerajaan bela nasib mereka

Penduduk Kampung Sinompuru Sungai Simpang, Sandakan, rayu kerajaan bela nasib mereka

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri diminta campur tangan berhubung isu penduduk Kampung Sinompuru Sungai Simpang, Sandakan, yang diusir dari penempatan selepas tanah diduduki mereka dimiliki sebuah syarikat pada tahun ini.

Penduduk mendakwa bahawa mereka telah membuat beberapa kali permohonan untuk mendapatkan geran tanah kerana sudah mendiami kampung berkenaan sejak hampir 40 tahun dan berlarutan sehingga tiga generasi namun dibatalkan.

Yulius ketika ditemui mengadakan perhimpunan aman di Wisma Innoprise, Kota Kinabalu.

Akhirnya pada awal tahun ini penduduk menerima berita bahawa tanah berkenaan sudah dimiliki sebuah syarikat perladangan dan penduduk diminta keluar.

Wakil penduduk, Yulius Kasu, 70, berkata, mereka ketika ini buntu kerana sudah tiada tempat dituju dan kebanyakan penduduk tidak mempunyai wang.

Suen ditemui pemberita ketika hadir di pekarangan Wisma Innoprise, Kota Kinabalu.

“Saya mewakili suara penduduk kampung merayu kepada kerajaan supaya diberi peluang atau dibela. Di mana kami mahu pergi lagi jika kami dihalau. Tanah itu tempat kami berteduh dan diharap hak kami sebagai rakyat Sabah dibela.

“Kami bukan orang kaya, kami orang miskin. Cukup-cukup makan saja apa yang kami tanam itulah pendapatan kami, kami menangis sebenarnya,” katanya ketika mengadakan perhimpunan aman di pekarangan Wisma Innoprise, di sini, hari ini.

Hishamuddin (dua kanan) bersama wakil penduduk hadir menyampaikan memorandum kepada Nordin di pekarangan Wisma Innoprise, Kota Kinabalu.

Suen Balinting, 63, berkata, demi rayuan itu penduduk sanggup datang dari Sandakan untuk bersama-sama menghantar memorandum.

“Kami bertolak menaiki bas yang disewa khas dari Sandakan pada jam 10 pagi dan sampai di Kota Kinabalu pada jam 5 petang dan sewa penginapan di sini.

“Jadi tujuan kami supaya kerajaan dapat campur tangan masalah kami dan selesai supaya tidak berat sebelah,” katanya.

Menjelaskan keadaan itu, Suen berkata, mereka sebelum ini sudah beberapa kali memohon untuk mendapatkan geran tanah iaitu sejak 1988 tetapi akhirnya tanah itu dibeli sebuah syarikat.

“Sekarang kami diberi tempoh selama tiga bulan iaitu sehingga September depan untuk mengosongkan tanah berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim yang mewakili penduduk bertindak menghantar memorandum bagi isu berkenaan kepada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Sabah.

“Hari ini kami menyerahkan memorandum yang disampaikan kepada wakil kerajaan negeri, Setiausaha Rendah (Operasi) KKTP, Nordin Lossin dan beliau akan panjangkan permintaan ini kepada Menteri KKTP, Datuk Seri Masidi Manjun untuk diadakan rundingan.

“Kami harap proses pengusiran penduduk ditangguh dahulu dan minta campur tangan daripada kerajaan, panggil syarikat berkenaan untuk duduk semeja bersama kerajaan dan wakil penduduk untuk berbincang perkara ini.

“Ini termasuk bagaimana kos pemindahan dan kos hidup di tempat baharu selain diberi penempatan baharu kepada mereka jika diusir daripada tanah berkenaan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|