Kerajaan Sabah, Sarawak dicadang tubuh Suruhanjaya Bersepadu kawal ketirisan minyak masak bersubsidi

Kerajaan Sabah, Sarawak dicadang tubuh Suruhanjaya Bersepadu kawal ketirisan minyak masak bersubsidi

Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah mencadangkan kerajaan Sabah dan Sarawak termasuk Labuan supaya menubuhkan Suruhanjaya Bersepadu bagi mengawal ketirisan minyak masak bersubsidi.

Katanya, kerajaan tidak boleh membiarkan keadaan itu terus tidak dikawal kerana sudah tentu akan wujud kartel yang akan membina keuntungan orang tengah secara melampau.

“Krisis ketirisan minyak masak bersubsidi bukanlah isu baharu, namun ia dilihat semakin meruncing susulan pemansuhan subsidi minyak masak di dalam botol berkuat kuasa 1 Julai lalu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kejohanan Sukan Tahunan Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Ke-55 di Dewan Badminton Yayasan Sabah, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu berkaitan masalah ketirisan minyak masak bersubsidi dalam paket yang sejak akhir-akhir ini berjaya dirampas oleh pihak berkuasa dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.

Beliau yang juga Pengerusi LPPB berkata, jika penubuhan suruhanjaya itu dipersetujui ia bukan sahaja berfungsi mengawal ketirisan tetapi turut memantau pihak yang dilantik membungkus minyak masak secara pukal mengikut kouta yang ditetapkan.

“Minyak masak peket bersubsidi ini bukan sahaja menjadi rabutan pembakal domestik, tetapi menjadi sasaran aktiviti ketirisan ke negara jiran.

“Jadi dengan adanya penubuhan suruhanjaya ini ia dapat membantu memantau syarikat yang dilantik melakukan pembungkusan semula minyak masak terbabit,” katanya.

Masiung berkata, sampadan darat dan perairan Sabah serta Sarawak yang berjiran dengan Indonesia, Filipina dan Brunei begitu luas mungkin memberi ruang kepada aktiviti penyeludupan.

“Kerajaan membelanjakan subsidi sebanyak RM4 bilion tahun ini untuk 60,000 tan metrik minyak masak tetapi ia tidak adil kepada warga tempatan kerana kemudahan subsidi itu turut dinikmati oleh rakyat di negara jiran.

“Bagi membina keyakinan rakyat penubuhan bersama Suruhanjaya Bersapadu itu boleh diguna pakai untuk mengawal inflasi berikutan tekanan ekonomi yang membebankan rakyat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|