Anggota Maritim Malaysia mengaku tidak bersalah terima rasuah RM1,500

Anggota Maritim Malaysia mengaku tidak bersalah terima rasuah RM1,500

Kota Kinabalu: Seorang anggota Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Tertuduh, Jazul Abdullah, 35, membuat pengakuan itu di hadapan hakim Abu Bakar Manat selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Menurut pertuduhan, pada 17 Mac 2021 kira-kira jam 7.30 malam di kawasan parkir di kawasan Alamesra, di sini, tertuduh secara rasuah memperoleh suatu suapan wang sebanyak RM1,500 daripada seorang lelaki.

Wang itu sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap bot dan pengadu yang mempunyai lesen bot tamat tempoh.

Tertuduh didakwa telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Mahkamah memberikan ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan deposit RM3,000 dan seorang penjamin tempatan bersama beberapa syarat tambahan iaitu perlu menyerahkan passport dan melaporkan diri setiap dua bulan sekali di SPRM Kota Kinabalu serta tidak dibenarkan mengganggu saksi sebelum atau ketika perbicaraan kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Dzulkarnain Rousan Hasbi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|