300 motosikal diagihkan kepada belia

300 motosikal diagihkan kepada belia

Kota Kinabalu: Sebanyak 300 motosikal diagihkan secara berperingkat oleh kerajaan negeri menerusi program Bantuan Motosikal Bizrider300.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, penyerahan itu diberikan belia dari kawasan pantai barat dan pantai timur di negeri ini.

“Saya mengalu-alukan program hari ini di mana tiga ratus motosikal akan diagihkan secara berperingkat ke bandar utama di pantai barat dan pantai timur Sabah.

“Pada hari ini saja, kita akan menyaksikan penyerahan kepada seratus penerima di kawasan pantai barat termasuk sekitar Kota Kinabalu.

“Pemohon yang berjaya bukan sahaja akan menerima bantuan berbentuk motosikal Modenas Kriss 110MF, malah turut mendapat pekerjaan terus sebagai rakan penghantar Foodpanda,” katanya ketika berucap pada majlis itu Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Katanya lagi, sebanyak 736 permohonan telah diterima untuk bantuan ini dan ia melebihi sasaran bantuan 300 motosikal yang diperuntukkan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA).

“Kerajaan akan meneruskan dan memperluaskan lagi program ini bagi memberi peluang lebih ramai pemohon mendapat peluang, terutama dalam kalangan belia yang tiada pekerjaan atau kehilangan punca pendapatan,” katanya.

Sehubungan itu, Hajiji mengucapkan tahniah kepada SEDIA atas keprihatinan menganjurkan program bantuan yang amat dinanti-nantikan ini terutama oleh kalangan belia di Sabah.

“Saya juga mahu semua kementerian, agensi, jabatan, syarikat besar dan pihak-pihak berkepentingan yang lain untuk turun padang dan mendengar suara rakyat bagi mendapatkan input dalam merangka program yang benar-benar diperlukan oleh rakyat.

“Program yang dibuat juga harus disesuaikan dan dipermudahkan agar lebih ramai mendapat akses serta manfaat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|