Tiada tarikh tamat MoU sokongan terhadap Perdana Menteri

Kota Kinabalu: Tiada tarikh tamat tertentu Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik di antara kerajaan Persekutuan dengan Pakatan Harapan (PH) berhubung sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ahli Jawatankuasa Rundingan dan Pelaksana MoU, Tan Sri Annuar Musa berkata, ramai salah faham mengenai tarikh MoU itu yang akan tamat Julai ini.

“MoU tidak tamat, banyak orang silap faham, MoU tidak ada ‘dateline’. Yang ada itu tarikh pilihan raya dipersetujui sebelum akhir bulan Julai.

“Tetapi MoU antara ahli-ahli Parlimen termasuk pembangkang dengan kerajaan khususnya Perdana Menteri tidak ada tarikh tamat dan ia adalah satu MoU memberi sokongan kepada Perdana Menteri sehingga Parlimen dibubarkan,” katanya kepada media selepas Majlis Makan Malam sempena mesyuarat Majlis Ekonomi Digital, Industri Kreatif dan Komunikasi (MEDIKK), di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai kesiapsiagaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) termasuk selepas tamatnya MoU bersama pihak pembangkang.

Katanya lagi, sokongan terhadap Perdana Menteri daripada parti kerajaan dan pembangkang adalah sehingga Parlimen dibubarkan.

“Fakta itu elok difahami yang ada dateline itu satu persefahaman Parlimen tidak akan dibubar sebelum 31 Julai.

“Jadi, bila Parlimen dibubarkan, ia terpulang kepada Perdana Menteri dan juga pemimpin politik itu yang menentukan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ketereh turut bersetuju supaya PRU-15 tidak terlalu lewat atau awal diadakan kerana mengambil kira pelbagai sudut.

“Saya bersetuju, tidak harus terlalu lewat supaya kita tidak terlalu memberi kelebihan kepada pihak-pihak yang bersaing dengan kita.

“Pada masa yang sama, kita tidak boleh terlalu awal kalau sebenarnya kita belum bersiap siaga.

“Sebab itu saya sependapat dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan juga Perdana Menteri yang bersetuju ia perlu disegerakan tak perlu dilewatkan sebaik saja kita bersedia,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|