Kota Kinabalu: Hanya 132,225 atau 32.1 peratus daripada kanak-kanak berumur lima hingga 12 tahun di Sabah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.
Jumlah itu direkodkan sehingga tamat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) bagi dos pertama pada 31 Mei lalu.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Rose Nani Mudin, berkata seramai 76,192 orang atau 18.5 peratus kanak-kanak pula lengkap dua dos vaksin sejak PICKids bermula di Sabah pada 3 Februari lalu.
Katanya, 31 Mei adalah hari terakhir pemberian Dos 1 PICKids kepada kanak-kanak yang mencapai umur lima tahun hingga 12 tahun sebelum tarikh berkenaan.
“Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, bermula 1 Jun 2022 sehingga 31 Januari 2023, PICKids hanya akan menawarkan vaksin COVID-19 kepada kanak-kanak yang baru berusia lima tahun pada atau selepas 31 Mei 2022 melalui Klinik Kesihatan atau klinik swasta yang masih beroperasi sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
“Ibu bapa yang berhasrat untuk memberi vaksinasi kepada kanak-kanak yang baru mencapai lima tahun dinasihatkan mendaftar dan membuat tempahan temujanji melalui aplikasi MySejahtera,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Selain itu, katanya ibu bapa di Sabah juga boleh membuat temu janji secara terus di Klinik Kesihatan dikendalikan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 untuk anak masing-masing.
-Deasoka