Sandakan: Cubaan lima bot asing menceroboh perairan negara di kawasan laut Nunuyan, di sini, berjaya dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM), pagi tadi.
Kelima-lima bot itu dikendalikan lima lelaki dan dua penumpang yang berasal dari Filipina.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah 4 Sandakan, Deputi Superintendan Rusdin Banin berkata, semua bot itu dikesan mencurigakan dari perairan negara jiran sebelum dipintas ketika memasuki perairan negara.
Katanya, hasil pemeriksaan kelima-lima bot berkenaan mendakwa berada dari Filipina.
“Semua bot itu kemudian diusir dengan diiringi sehingga keluar dari perairan negara bagi mengekang penularan wabak penyakit pandemik Covid-19.
“Mereka juga diarahkan supaya tidak memasuki perairan negara selaras dengan kehendak undang-undang Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi mengekang penularan wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Rusdin berkata, PPM amat menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada pihaknya.
Katanya, maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi WhatsApp PPM Wilayah Empat Sabah di talian 013-9391197 atau berhubung ke Bilik Gerakan PPM Tawau di talian 089-983628 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga serta terkawal.
-Deasoka