Tawau: Gelagat mencurigakan beberapa lelaki mengangkat kotak dari kawasan semak di tepi jalan di Kampung Batu 3, di sini, semalam membongkar kegiatan penyeludupan rokok.
Bagaimanapun, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, semua suspek terus melarikan diri masuk ke dalam semak sebelum hilang dan gagal dikesan.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Tawau, Deputi Superintendan Ridzauddin Selamat berkata, semua rokok tanpa cukai berkenaan dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.
Katanya, bertindak atas maklumat, pasukan rondaan ternampak beberapa lelaki sedang mengangkat beberapa kotak.
“Semua kotak berkenaan kemudiannya dilonggokkan di dalam semak di tepi jalan berkenaan.
“Bagaimanapun, semua saspek bertindak melarikan diri ke dalam semak sebaik menyedari kehadiran polis,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mohamad berkata, hasil pemeriksaan lanjut kemudiannya mendapati terdapat pelbagai jenis rokok yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran Indonesia.
Katanya, nilai rampasan semua rokok seludup berkenaan dianggarkan sebanyak RM68,534 berdasarkan harga pasaran semasa.
“Semua rokok yang dirampas kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Kastam Tawau untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.
Sehubungan itu, Ridzauddin berkata, PPM amat menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada pihaknya.
Katanya, maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi WhatsApp PPM Wilayah Empat Sabah di talian 013-9391197 atau berhubung ke Bilik Gerakan PPM Tawau di talian 089-983628 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga serta terkawal.
-Deasoka