Curi khazanah hutan simpan, empat ditahan, 149 kayu dirampas

Semporna: Empat lelaki ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) selepas disyaki menjalankan aktiviti mencuri kayu dari kawasan Hutan Simpan Kampung Keramat, Pulau Timbun Mata, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, pasukan operasi turut menemui 149 kayu bergergaji yang dibawa kumpulan suspek terbabit.

Empat lelaki ditahan kerana disyaki menjalankan aktiviti mencuri kayu di kawasan hutan simpan di Semporna.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohamad Ismail berkata, tangkapan dilakukan atas kesalahan Enakmen Perhutanan 1968.

Katanya, ia kerana memiliki kayu yang disyaki dicuri dari kawasan hutan simpan ketika ditahan untuk pemeriksaan.

“Jumlah nilai rampasan dalam operasi ini dianggarkan sebanyak RM25,730 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Kayu yang dirampas dan semua suspek terlibat kemudiannya dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad berkata, kes berkenaan akan turut dirujuk kepada Jabatan Perhutanan untuk tindakan selanjutnya.

Sehubungan itu, Mohamad berkata, PPM amat menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada pihaknya.

Katanya, maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi WhatsApp PPM Wilayah Empat Sabah di talian 013-9391197 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga serta terkawal.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|