Tiada lagi kerisauan pemimpin keluar parti – Bung Moktar

Kota Kinabalu: Tiada lagi kerisauan mengenai ahli atau pemimpin keluar parti yang boleh melemahkan kedudukan UMNO dengan lulusnya pindaan perlembagaan bagi melanjutkan pemilihan parti itu pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas di Kuala Lumpur, hari ini.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata UMNO bimbang jika pemilihan diadakan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU), pemimpin yang kalah dalam pertandingan akan keluar parti dan ia dilihat melemahkan parti itu

Bung Moktar bersama isteri bersalam dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada PAU Khas di PWTC, Kuala Lumpur.

Katanya, menerusi pindaan itu, pemilihan parti akan diadakan dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang agar tumpuan sebelum PRU dapat diberikan kepada usaha memperkasakan parti.

“PAU Khas hari ini berjaya meluluskan pindaan untuk mempertahankan parti. Ia bukan agenda untuk menempatkan diri dalam kalangan pemimpin parti tetapi bagi memperkasakan parti.

Bung Moktar bersama pemimpin UMNO Sabah hadir pada PAU Khas di PWTC Kuala Lumpur.

“Kalau ada pemilihan sekarang ia akan melemahkan parti sebab yang kalah bertanding akan keluar parti. Justeru parti memutuskan pemilihan ditangguhkan sama ada 18 bulan atau enam bulan selepas PRU.

“Ini penting supaya tiada perpecahan dalam parti sebelum PRU. Selepas Pilihan Raya Umum (PRU), pemilihan parti diadakan, maka apa jadipun lantaklah kerana pemilihan parti bukan lagi menjadi keutamaan apabila kita sudah berjaya mendapat kerajaan yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pindaan dalam Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO yang memberi tempoh untuk parti melanjutkan pemilihan dalam tempoh enam bulan selepas PRU selesai yang diluluskan pada PAU Khas di Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata perpaduan dalam parti itu jelas kelihatan pada PAU Khas itu apabila Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyokong usul pindaan berkenaan yang dibentangkan Datuk Khalid Nordin.

“Ini memperlihatkan perpaduan yang kukuh dalam kalangan pemimpin UMNO. Ini yang rakyat mahu lihat, kekuatan di peringkat tertinggi parti akan diterjemahkan di peringkat akar umbi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|