Pindaan perlembagaan UMNO perlu untuk bina kekuatan parti – Raimie

Pindaan perlembagaan UMNO perlu untuk bina kekuatan parti – Raimie

Kota Kinabalu: Pindaan Perlembagaan UMNO bagi melanjutkan tempoh pemilihan parti yang diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas hari ini amat bertepatan dengan kedudukan UMNO Sabah yang masih dalam proses pengukuhan semula.

Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Raimie Unggi, berkata UMNO Sabah perlu memberi tumpuan kepada usaha mengukuhkan akar umbi untuk membina kekuatan parti berikutan banyak kepemimpinan bahagian masih dalam kedudukan memangku.

Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Raimie Unggi

Katanya, jika ada pemilihan dalam tempoh terdekat, ia mungkin boleh menimbulkan pergeseran atau pertengkaran dalam kalangan pemimpin UMNO yang boleh menjejaskan kedudukan parti itu di Sabah.

“Kita fokus kepada bahagian yang menjadi ‘hardcore’ UMNO / Barisan Nasional (BN). Soal polisi, biar pimpinan tentukan,” katanya mengulas pindaan perlembagaan UMNO bagi melanjutkan tempoh pemilihan parti yang diluluskan pada PAU Khas di Kuala Lumpur, hari ini.

Raimie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, berkata dengan pindaan itu, secara tidak langsung UMNO dapat memberi fokus untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Katanya, ahli dan pemimpin UMNO di semua peringkat perlu menyemarakkan semangat dan perjuangan parti dengan mengambil kira senario politik lalu seperti pemimpin meninggalkan parti.

PAU Khas diadakan bagi meluluskan pindaan dalam Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO yang memberi tempoh untuk parti melanjutkan pemilihan dalam tempoh enam bulan selepas PRU selesai.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|