Biarkan Sabah urus sendiri peruntukan pendidikan – Abdul Aziz

Biarkan Sabah urus sendiri peruntukan pendidikan – Abdul Aziz

Kota Kinabalu: Sabah perlu diberikan peruntukan pembangunan pendidikan yang diuruskan sendiri oleh kerajaan negeri menerusi cadangan autonomi pendidikan kepada Sabah dan Sarawak.

Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir Abdul Aziz Julkarnain, berkata Sabah boleh menentukan sendiri apa yang patut diberi keutamaan melalui peruntukan yang diberikan.

“Saya meminta agar dalam autonomi pendidikan ini, Sabah diberikan sendiri peruntukan pembangunan pendidikan untuk diuruskan sendiri.

“Biarlah Sabah yang menentukan keutamaan pembangunan tersebut tanpa mengikut kehendak wakil-wakil rakyat yang mendesak pembangunan tanpa mengira ‘ranking’ keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mohamad Alamin, mengenai pemberian autonomi pendidikan kepada Sabah dan Sarawak yang akan dibincang Jawatankuasa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), baru-baru ini.

Abdul Aziz berkata, beliau sangat bersetuju pemberian autonomi pendidikan kepada Sabah dan Sarawak kerana ia membawa makna yang besar kepada kedua-dua negeri Borneo itu.

Beliau menjelaskan, autonomi pendidikan juga penting bagi menangani isu kemiskinan memandangkan antara sebab Sabah tergolong sebagai negeri miskin kerana indeks kemiskinan diukur melalui dimensi pendidikan.

“Sekiranya kurang sekolah dibina atau jarak sekolah jauh daripada penempatan sehingga menyebabkan akses kepada pendidikan yang sempurna terbantut, maka indeks kemiskinan itu akan meningkat. Ini sekali gus menyumbang kepada wajaran kemiskinan untuk Sabah,” katanya.

Dalam hal lain, Abdul Aziz mencadangkan agar diwujudkan silibus mengenai pembentukan Malaysia mengikut naratif yang sebenar dalam sukatan pelajaran sekolah.

“Carilah pejuang-pejuang kemerdekaan yang masih hidup dan warisnya untuk dijadikan petikan kepada silibus itu nanti. ‘There are always two sides of a coin’,” katanya.

Tambahnya, beliau ada berbicara dengan seorang Datuk pada Jumaat lalu mengenai pengalaman persekolahan yang pernah dilaluinya ketika zaman kolonial British.

“Menurutnya, dalam silibus sekolah lama, Datu Paduka Mat Salleh digambarkan sebagai seorang lanun yang jahat.

“Namun sejarah pada hari ini pula, Datu Paduka Mat Salleh adalah seorang pejuang yang menentang British daripada menjarah kekayaan bumi Sabah ketika itu. Itulah makanya, di sebalik cerita pasti ada cerita lain,” katanya.

Selain itu, beliau juga menyatakan harapannya agar Perjanjian Malaysia 1963 atau MA63 dijadikan silibus utama supaya generasi muda cakna kepada perjanjian terbabit yang mungkin terlalu dipolitikkan atau sebaliknya.

“Apa sebenarnya MA63 dan apa yang belum tercapai? Ini perlu digarap dan difahami agar generasi muda dapat penceritaan daripada sumber yang bertanggungjawab,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|