IPD seluruh negara akan dilakukan penilaian baharu

Kuala Penyu: Semua Ibu Pejabat Polis (IPD) di seluruh negara akan dilakukan penilaian baharu dalam usaha menaik taraf perkhidmatan sejajar dengan keperluan semasa.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, penilaian itu berdasarkan beberapa kriteria termasuk jumlah kepadatan penduduk bagi setiap daerah.

“Kita kena faham bahawa walaupun di Malaysia banyak daerah, contohnya parlimen saja ada 222 di seluruh negara, tetapi IPD yang kita bangunkan hanya ada tak sampai 160 kerana kita gabungkan beberapa daerah untuk adakan satu IPD.

“Ini kerana ketika nak membangunkan IPD itu, kita bukan hanya melihat dari segi status daerah itu sahaja tetapi dari segi berapa ramai penduduk yang ada dan semua itu kita ambil kira kerana anggota nak menjaga keselamatan, bukan hanya nak membangunkan kawasan tersebut.

“Tetapi, bila sampai satu tahap kita lihat ia perlu dinaikkan maka kita naikkan, ” katanya kepada media selepas merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Kuala Penyu, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan mewujudkan IPD di Kuala Penyu yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu, Datuk Limus Jury.

Hamzah bagaimanapun memaklumkan penilaian itu juga akan melibatkan naik taraf status balai-balai di bawah IPD.

“Kita naik taraf bukan sekadar menjadi IPD contohnya balai-balai juga ada gred dan itu juga kita akan naikkan statusnya.

“Itu akan kita buat apabila kita buat penilaian yang baharu di seluruh negara.

“Saya tak boleh nak menjawab di Kuala Penyu ini naik gred berapa tapi saya akan pastikan apabila terdapat keperluan itu dan kita akan naikkan gred di Kuala Penyu ini,” ujarnya.

Terdahulu, Hamzah turut memaklumkan bahawa pihaknya akan berbincang dengan Ketua Menteri Sabah berhubung tapak sesuai untuk pembinaan Pusat Latihan Polis (Pulapol) yang kedua di Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|