GRS-BN komited majukan luar bandar Sabah melalui SMJ

Tongod: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) komited untuk terus memajukan Sabah termasuk kawasan luar bandar melalui Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor, berkata kerajaan negeri amat prihatin dan tidak mahu daerah yang jauh dari Kota Kinabalu mundur.

Hajiji menyerahkan geran tanah kepada wakil penduduk kampung di Tongod.

Katanya, ia kerana rakyat di semua daerah berhak menikmati pembangunan dan faedah hasil daripada kemerdekaan negara.

“Inilah yang Kerajaan GRS-BN lakukan kerana bagi kita yang penting ialah rakyat dapat menikmati apa jua pembangunan dan kemudahan asas yang sepatutnya mereka perolehi,” katanya ketika merasmikan Pesta Kaamatan Daerah Tongod dan Majlis Pecah Tanah Projek Komersial Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) di Dewan Terbuka Dataran Rakyat Tongod, semalam.

Hajiji diberi taklimat Projek Komersial LPPB melibatkan pembinaan enam buah kedai teres dua tingkat di Pekan Tongod.

Hadir sama ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Jahid Jahim; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong; Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Isnin Aliasnih, ADUN Telupid, Jonnybone J Kurum, Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur, Datuk Bernard Liew dan Pegawai Daerah Tongod, Mohd Fauzi Norbeh.

Hajiji berkata, kerajaan GRS-BN mahu membawa Tongod dan daerah lain yang kurang pembangunan, keluar daripada kemunduran.

Hajiji bergambar bersama wakil penduduk kampung di Tongod yang menerima geran tanah.

“Inilah niat kita sebaik sahaja mengambil alih pemerintahan negeri pada September 2020. Kerajaan negeri sememangnya akan membawa pembangunan terutama di kawasan luar bandar bagi dinikmati oleh rakyat kita yang selama ini mengharapkan sesuatu yang baik atau memberi manfaat kepada mereka, yang dapat dilakukan oleh kerajaan,” katanya.

Katanya, kerajaan GRS-BN juga amat komited dalam menyelesaikan isu pemilikan tanah di negeri ini, menerusi penyerahan sebanyak 611 geran tanah berkeluasan 3,893 ekar kepada pemohon dari daerah Tongod.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 238 adalah geran tanah anak negeri (NT) melalui permohonan tanah biasa, manakala 373 lagi geran NT hasil daripada Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS).

“Pada 12 Mei lalu, saya telah menyerahkan 206 geran tanah NT kepada pemohon di daerah Pitas dan pada Sabtu saya telah menyerahkan sebanyak 181 geran di daerah Telupid,” katanya.

Hajiji berkata, kerajaan Negeri melalui Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) akan sentiasa bekerja keras untuk menilai dengan teliti semua permohonan tanah yang dikemukakan oleh rakyat.

Katanya, sekiranya sesuatu permohonan itu tidak mempunyai sebarang halangan, tiada sebab pengeluaran geran untuk tanah terbabit tidak dapat dilaksanakan.

“Justeru saya meminta semua penerima geran tanah agar mengusahakan tanah mereka dengan pertanian, kerana ianya dapat meningkatkan pendapatan mereka.

“Jika boleh bekerjasamalah dengan mana-mana agensi kerajaan yang berkaitan untuk mengusahakan tanah tersebut dengan pelbagai jenis tanaman termasuk kelapa sawit.

“Berdasarkan laporan Statistik Eksport Import Mengikut Negeri bagi Mac 2022 yang dikeluarkan baru-baru ini, eksport minyak Sawit Malaysia berjumlah RM7.5 bilion, dengan Sabah mencatatkan angka tertinggi sebanyak RM1.8 bilion atau 23.5 peratus,” katanya.

Katanya, pemberian geran tanah itu bukan hanya sekadar untuk memastikan penduduk memperoleh tanah, sebaliknya membantu mereka untuk meningkatkan ekonomi menerusi pertanian seperti penanaman kelapa sawit dan tanaman lain.

“Justeru, saya menasihatkan kepada penerima geran NT supaya mengusahakan tanah bersungguh-sungguh dan tidak mengambil jalan singkat untuk mengaut keuntungan dengan menjualnya,” katanya.

Pada majlis itu, Hajiji turut menyerahkan satu warta perkampungan anak negeri iaitu Kampung Sanan seluas 49.3 ekar yang telah diwartkan pada 21 Oktober 2021 di daerah Tongod.

Sementara itu, katanya sambutan Pesta Kaamatan harus terus dipelihara dan diperkukuhkan sebagai pemantapan perpaduan serta keharmonian dalam kepelbagaian kebudayaan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan turut meluluskan permohonan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah untuk membina rumah kos rendah oleh LPPB di Tongod, projek membina astaka di Kompleks Sukan Tongod dan Rumah Pusat Kebudayaan Tongod/Kuamut.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|