Masyarakat pedalaman diajak majukan bidang pertanian

Nabawan: Masyarakat di daerah ini diajak supaya sentiasa meningkatkan daya usaha untuk memajukan diri dalam bidang pertanian bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohd Yasin, berkata usaha ke arah itu sejajar dengan kebiasaan masyarakat di pedalaman mengerjakan aktiviti pertanian.

Abdul Ghani

Sesuai dengan budaya masyarakat kita di sini sudah tentu aktiviti pertanian adalah kebiasaan kita semua, oleh itu saya sentiasa mengajak masyarakat Nabawan untuk sentiasa meningkatkan daya usaha untuk memajukan diri dalam bidang ini supaya hasil daripada usaha ini memberi manfaat dalam meningkatkan taraf hidup,” katanya pada sambutan Tadau Kaamatan peringkat daerah Nabawan, di sini, semalam.

Abdul Ghani berkata, beliau juga sentiasa menyuarakan keperluan rakyat di daerah ini untuk menikmati pembangunan sosial yang lebih baik.

Sambutan Pesta Kaamatan Daerah Nabawan disempurnakan Menteri Belia dan Sukan negeri, Datuk Ellron Angin.

“Saya sentiasa bersuara tidak kira di dalam dewan mahupun di luar, kita sentiasa memikirkan cara terbaik serta bertindak dengan sewajarnya untuk membela nasib kita di sini khususnya mengenai isu jalan-jalan pertanian atau jalan-jalan kampung yang perlu diambil perhatian oleh kerajaan.

“Selain itu, sejak awal lagi saya telah menyeru kepada sahabat-sahabat pemimpin masyarakat untuk sentiasa peka dan proaktif dalam bertindak sekiranya ada keperluan mendesak yang perlu diselesaikan segera demi kesejahteraan masyarakat di daerah ini,” katanya.

Katanya, selama kira-kira dua tahun sebagai ADUN Nabawan, banyak perkara diusahakannya, yang menjurus kepada pembangunan ekonomi dan sosial selain terus bergerak memajukan Nabawan.

Beliau menambah, setelah kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil alih tampuk kepemimpinan kerajaan negeri, banyak perkara yang sudah dilaksanakan demi pembangunan rakyat Sabah.

Jelasnya, kerajaan sentiasa prihatin dan berusaha untuk membela serta menjaga kebajikan rakyat, lebih-lebih lagi kerajaan mempunyai halatuju yang jelas melalui Pelan Pembangunan Sabah Maju
Jaya (SMJ).

“Sudah tentu pelbagai agenda yang difikir sesuai telah dirancang dan akan dilaksanakan secara berfasa. Oleh itu, marilah bersama menyokong dan mendokong usaha-usaha murni kerajaan, elakkan dan hindari apa-apa perbalahan mahupun persengketaan demi manfaat kemajuan dan kesejahteraan dalam segala aspek pembangunan untuk daerah Nabawan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata usaha menjaga dan menghargai keaslian budaya serta alam semulajadi di daerah ini perlu ditingkatkan lagi sesuai dengan tema sambutan Kaamatan tahun ini, ‘Kaamatan Menjiwai Alam Semulajadi’.

“Dalam menjiwai alam semulajadi suka saya untuk mengupas mengenai pembangunan ekonomi dari asepk aktiviti pertanian dan sosial yang menjadi kiblat utama kita dalam menggerakkan pembangunan daerah Nabawan pada masa ini.

“Sememangnya Nabawan ini dihuni oleh majoriti penduduk asal daripada suku kaum Murut, adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk setiap individu menanamkan sikap yang sentiasa membela, mempertahan dan menyesuaikan peredaran zaman dengan budaya kita tanpa menghakis keasliannya.

“Contohnya, dari segi sikap saling tolong-menolong, bekerjasama, pengamalan pertuturan bahasa ibunda terutama dalam urusan harian, mempromosi makanan tradisi, merancakkan bidang kraftangan, pertanian dan sebagainya.

“Oleh itu, saya menyeru perkara-perkara ini perlu ditekankan dan pemimpin-pemimpin masyarakat perlu proaktif untuk memainkan peranan masing-masing,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|