Tiada lagi alasan projek lewat disebabkan Covid-19 – Hajiji

Tiada lagi alasan projek lewat disebabkan Covid-19 – Hajiji

Kota Kinabalu: Ketua jabatan negeri dan persekutuan diminta supaya memastikan semua projek pembangunan yang diluluskan menerusi Rolling Plan 2, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Sabah dilaksanakan segera agar manfaatnya dapat dinikmati dengan cepat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, menegaskan, tiada lagi alasan kelewatan pelaksanaan sesuatu projek disebabkan situasi penularan Covid-19 seperti berlaku sebelum ini.

Hajiji bersama menteri Kabinet negeri selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Sabah.

Katanya, kelewatan dalam melaksanakan projek yang sudah diluluskan akan merugikan rakyat dan kerajaan serta menafikan hak rakyat terhadap manfaat yang sepatutnya diterima mereka, selain akan meningkatkan lagi kos pelaksanaan.

“Semua projek hendaklah dilaksanakan segera khususnya projek yang berbentuk ‘touch points’. Semua agensi hendaklah cuba untuk memudahkan semua pelaksanaan projek yang sudah diluluskan dan bukan sebaliknya”, katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Sabah Bil 1/2022 di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Hajiji mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Sabah.

Mesyuarat itu turut disertai Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan negeri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan; Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Jahid Jahim; Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya; Menteri Belia dan Sukan negeri, Datuk Ellron Angin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong dan Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Sarul Bahiyah Abu.

Hajiji berkata, aktiviti ekonomi perlu terus digerakkan dan program atau projek pembangunan perlu dirancakkan, selain sistem pendidikan perlu terus berjalan.

“Justeru, kita perlu gandakan pemanduan, gariskan pelan tindakan yang mantap, rencanakan strategi yang ampuh, selusuri carta perbatuan yang munasabah yang memberikan impak yang tinggi bukan sahaja kepada organisasi tetapi juga kepada rakyat yang memerlukan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata terdapat beberapa penambahbaikan dalam strategi utama dan struktur Arahan No 1, 2022 yang antaranya ialah penubuhan semula Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Negeri (JTPNg) Sabah dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Selain itu, katanya jawatankuasa bagi Focus Group Kesejahteraan Rakyat Peringkat Negeri (FGN) juga dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri dan Focus Group Kesejahteraan Rakyat Peringkat Daerah (FGD) yang dipengerusikan oleh pegawai daerah.

Hajiji meninta semua jawatankuasa memainkan peranan dan fungsi sewajarnya dalam memastikan pelaksanaan mesyuarat mengikut ketetapan Arahan No 1, 2022.

“Sekiranya terdapat masalah atau isu dalam pelaksanaan program atau projek pembangunan yang tidak dapat diselesaikan di peringkat daerah, maka ianya hendaklah dikemukakan ke peringkat seterusnya seperti yang ditetapkan dalam struktur arahan berkenaan,” katanya.

Beliau turut mengumumkan pelantikan Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof sebagai ahli baharu MTPNg Sabah, selaras dengan Arahan No 1, 2022.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|