Polis tingkat kesiapsiagaan hadapi ancaman luar

Polis tingkat kesiapsiagaan hadapi ancaman luar

Kota Kinabalu: Polis Sabah akan melipatgandakan usaha dari segi kesiapsiagaan terhadap sebarang ancaman luar yang cuba mengganggu ketenteraman dan kedaulatan negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, pihaknya sudah mengarahkan dan menggerakkan semua elemen-elemen di lapangan supaya sentiasa bersedia khususnya di perairan Pantai Timur Sabah.

Datuk Idris Abdullah (tengah) menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan dan Risikan/Operasi); Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini, hari ini.

“Polis akan melipatgandakan lagi usaha-usaha kita di dalam kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan ancaman luar, jika ada yang cuba mengganggu ketenteraman dan kedaulatan negeri ini.

“Setakat ini tiada sebarang ancaman namun kita telah mengarahkan dan menggerakkan semua elemen-elemen kita supaya melipatgandakan dari segi kesiapsiagaan,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan dan Risikan/Operasi); Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sebelum ini yang meminta polis memantau situasi kempen Pilihan Raya Presiden Filipina yang diadakan Mei depan terutama isu tuntutan Sabah yang mungkin dibangkitkan hingga mewujudkan ancaman keselamatan kepada negeri ini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas laporan mengenai anugerah RM62.59 bilion yang dikenakan terhadap kerajaan Malaysia oleh pengimbang tara Sepanyol, Gonzalo Stampa, Idris berkata, pihak polis menerima maklumat berkenaan dan akan terus fokus kepada memperkukuhkan aspek keselamatan dalam negeri dan juga perairan persempadanan.

Bagaimanapun katanya, masyarakat di negeri ini tidak perlu bimbang kerana pasukan keselamatan sentiasa melipatgandakan dari segi kesiapsiagaan dalam menghadapi apa saja kemungkinan ancaman luar.

Sementara itu, ditanya mengenai Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) berkemungkinan akan ditambah, Idris berkata, pihaknya akan membuat kajian mengenainya, namun belum dipastikan sama ada kajian itu dilakukan.

“Kita akan buat kajian dan mungkin kita akan panggil dari peringkat tertinggi dari Bukit Aman untuk hadir dalam kajian itu. Selepas kita dapat keputusan, kita akan umumkan apa keputusannya.

“Tak pasti lagi kajian itu dilakukan sebab kita akan mengambil kira dari segala aspek sama ada dari Cawangan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah dan rakan-rakan penguatkuasa lain seperti tentera dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia,” ujarnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|