Tiada kompromi isu pemalsuan sijil vaksinasi, saringan Covid-19

Tiada kompromi isu pemalsuan sijil vaksinasi, saringan Covid-19

Putatan: Kerajaan tidak akan berkompromi dalam isu berkaitan pemalsuan sijil vaksinasi Covid-19 atau sijil saringan Covid-19 yang berlaku ketika ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perbuatan itu sesuatu yang tidak boleh dimaafkan dan perlu diambil tindakan yang sewajarnya.

Hishammuddin bersama Hajiji pada sesi taklimat Op Murni di Markas Kelima Infantri, Kem Lok Kawi, Putatan.

“Bagi saya, kita tidak akan berkompromi terhadap pemalsuan sijil sama ada vaksinasi atau sijil saringan Covid-19 kerana ia merupakan sesuatu yang tidak boleh dimaafkan.

“Saya gembira apabila pihak berkuasa pun mengambil tindakan terhadap individu tertentu tetapi siasatan mesti diteruskan,” katanya pada sidang media selepas lawatan rasmi beliau di Markas Kelima Infantri, Kem Lok Kawi, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Panglima 5 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohd Halim Khalid.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung perkembangan isu pemalsuan sijil digital vaksinasi yang berlaku di Sabah.

Mengulas lanjut, beliau berkata perbuatan itu disebabkan ketamakan individu demi mengaut keuntungan dan mengambil kesempatan terhadap musibah yang melanda dunia.

“Bagi saya tindakan mereka ini untuk keuntungan, tidak boleh dibenarkan kerana ia menjejas kedudukan mereka yang tidak berdosa dan apa yang mereka lakukan boleh menyebabkan keadaan Covid-19 khususnya dalam konteks varian baharu Omicron menular dengan lebih dahsyat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|