Penerimaan kapal misi pesisir (LMS) perkukuh keselamatan perairan Sabah

Penerimaan kapal misi pesisir (LMS) perkukuh keselamatan perairan Sabah

Putatan: Kawalan keselamatan di perairan Sabah akan terus diperkukuhkan menerusi penerimaan sebuah lagi kapal misi pesisir (LMS) baharu yang bakal ditauliahkan pada hujung bulan ini.

Kapal yang dikenali sebagai LMS Rencong itu adalah tambahan kepada tiga LMS yang diterima Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Teluk Sepanggar sebelum ini iaitu Kapal Diraja (KD) Keris, KD Sundang dan KD Badik yang ditauliahkan antara 6 Januari 2020 hingga 22 Oktober tahun lalu.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, empat LMS yang diterima itu adalah aset terbaharu milik TLDM yang cukup bersejarah.

“Tiga kapal LMS iaitu KD Keris, KD Sundang dan KD Badik serta yang terbaharu KD Rencong yang belum ditauliahkan lagi.

“Dijangka ia akan dapat ditauliahkan pada 28 Januari ini,” katanya pada sidang media selepas lawatan rasmi beliau ke Markas Kelima Infantri, Kem Lok Kawi, di sini, hari ini.

Hishammuddin berkata, penerimaan empat LMS itu adalah antara perancangan TLDM berhubung lima teras kapal armada yang dikurangkan daripada 15 kelas kepada lima kelas.

“LMS yang kita terima kali ini merupakan satu di antara lima yang telah menjadi sasaran kita.

“Kesemua LMS yang kita rancang telah selesai diterima oleh TLDM dan ia telahpun diterima dalam masa yang ditetapkan. Saya harap dengan apa yang kita jayakan ini ia akan dapat membantu keselamatan di Sabah ini,” katanya.

Bagaimanapun, Hishammuddin berkata, berhubung keselamatan di negeri ini, perkara itu akan dibincangkan dengan lebih lanjut bersama agensi keselamatan serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam lawatannya ke Tawau esok.

“Saya akan bincang dengan agensi-agensi keselamatan dan juga ATM esok di Tawau untuk memikirkan lagi apa yang kita boleh lakukan (keselamatan),” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|