Dua lori bertembung, pemandu selamat

Dua lori bertembung, pemandu selamat

Lahad Datu: Dua pemandu terselamat selepas sebuah lori 13 tan bertembung dengan sebuah lagi lori treler dalam kejadian di Jalan Putatan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 1.30 petang itu, pemandu lori yang membawa muatan sawit cedera di kaki dan kepala selepas tersepit di tempat duduk pemandu.

Pemandu lori treler yang membawa muatan sawit tersepit ditempat duduk pemandu. Pix Ihsan Bomba

Manakala seorang lagi pemandu lori 13 tan yang terbalik dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan dalam kejadian berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima makluman penemuan berkenaan pada jam 1.35 petang.

Pasukan bomba berjaya mengeluarkan mangsa kemalangan menggunakan peralatan khas. Pix Ihsan Bomba

Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu lori treler didapati tersepit di tempat duduk pemandu dan operasi mengeluarkan mangsa terus dijalankan.

“Manakala seorang lagi mangsa berjaya keluar sendiri dari kenderaan. Kedua-dua mangsa terus diberikan rawatan awal dilokasi kejadian oleh pasukan EMRS,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudiannya diserahkan kepada Pasukan Ambulans untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.12 petang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|