Sandakan: Kebimbangan penduduk di Taman Merpati, di sini, berhubung kehadiran buaya di kawasan perumahan mereka berakhir apabila buaya berkenaan berjaya ditangkap, semalam.
Pembantu Hidupan Liar, Pejabat Hidupan Liar Sandakan Jasni G berkata, pihaknya mengambil tindakan memburu haiwan berkenaan berikutan aduan yang diterima daripada penduduk sekitar.
Katanya, hasil kerjasama komuniti perumahan berkenaan serta bantuan teknikal dari Sandakan Crocodile Farm, buaya yang diburu sejak beberapa hari lalu itu berjaya ditangkap.
“Buaya jantan sepanjang tiga meter itu berjaya ditangkap dengan dijerut kira-kira jam 6 petang, semalam.
“Bagaimanapun, buaya berkenaan terpaksa di tembak mati atas faktor keselamatan dan ia sekaligus melegakan kerisauan komuniti taman berkenaan,” katanya di sini, hari ini.
Jasni berkata, bangkai buaya berkenaan kemudiannya dilupuskan di kawasan berhampiran.
-Deasoka