Thanabalan selamatkan maruah Sabah FC

Thanabalan selamatkan maruah Sabah FC

Kota Kinabalu: N Thanabalan menyelamatkan maruah Sabah FC apabila berjaya menjaringkan gol pada minit akhir ketika aksi Piala Sabah Maju Jaya (SMJ Cup) menentang Sarawak United FC di Stadium Likas, malam tadi.

Gol Thanabalan membolehkan Sabah FC menambah satu jaringan untuk memberi kemenangan saat akhir kepada pasukan dengan keputusan 2-1.

Sebahagian aksi Sabah FC menentang Sarawak United dalam saingan SMJ Cup di Stadium Likas, Kota Kinabalu. Pix ihsan Facebook Sabah FC.

Sebelum itu, Sabah FC hampir berputih mata apabila gawangnya dibolosi jaringan pasukan lawan pada minit ke-89, menjadikan kedudukan terikat 1 – 1.

Sabah sebelum itu mendahului 1 – 0 hasil jaringan Baddrol Bakhtiar pada minit kesembilan, namun Thanabalan berjaya mengubah kedudukan beberapa saat sebelum wisel penamat ditiupkan.

Mengulas situasi itu, Kim Swee sekali lagi mengulangi kelemahan utama pasukannya yang masih leka dalam permainan selepas mendahului jaringan yang menjadi punca kekalahan 2 – 1 ketika bertemu Kelantan FC dalam perlawanan pertama SMJ Cup, Ahad lalu.

“Namun, prestasi hari ini (malam tadi) lebih baik berbanding perlawanan pertama dengan pasukan Kelantan FC tempoh hari tetapi kita harus ingat apabila kita mendahului, kita masih selalu leka dan ini tidak sepatutnya berulang lagi.

“Hari ini (malam tadi) kita berjaya mendapat gol kemenangan pada minit terakhir tetapi secara keseluruhan kita harus memperbaiki lagi permainan. Kita perlu meneruskan corak permainan yang agresif apabila mendahului perlawanan,” katanya.

Bagaimanpun, Kim Swee mengakui pemain yang diturunkan malam tadi belum cukup cergas, termasuk Badrol yang masih mengalami kecederaan dengan hanya 16 pemain sebagai pilihan untuk diturunkan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|