Cemas terperangkap dalam lif

Cemas terperangkap dalam lif

Kota Kinabalu: Tiga termasuk seorang wanita berdepan detik cemas apabila terperangkap lebih 30 minit dalam lif di bangunan sebuah kondominium berhampiran Taman Nelly, Kolombong, di sini, semalam.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, ketiga-tiga mangsa berjaya diselamatkan pasukan bomba dan penyelamat yang hadir membantu sebaik menerima panggilan kecemasan.

Tiga mangsa yang terperangkap lebih 30 minit berjaya dikeluarkan pasukan Bomba dan Penyelamat menggunakan peralatan khas. Pix Ihsan Bomba

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.20 malam.

Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya dilokasi kejadian, ketiga-tiga mangsa masih terperangkap di dalam lif berkenaan dan operasi menyelamat segera dijalankan.

“Semua mangsa kemudiannya dapat dikeluarkan beberapa minit selepas pintu lif berjaya dibuka menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 7.56 malam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|