Covid-19 Sabah: 5,082 kes, jangkitan tertinggi sepanjang dua tahun pandemik

Covid-19 Sabah: 5,082 kes, jangkitan tertinggi sepanjang dua tahun pandemik

Kota Kinabalu: Sabah merekodkan kes jangkitan Covid-19 melepasi angka 5,000 dengan sebanyak 5,082 kes baharu hari ini, iaitu yang tertinggi sepanjang kira-kira dua tahun pandemik Covid-19 merebak ke Sabah.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata jumlah itu membabitkan peningkatan sebanyak 708 kes, berbanding 4,374 kes yang dilaporkan semalam.

Katanya, daerah Kota Kinabalu mencatat kes baharu yang tertinggi di Sabah hari ini dengan empat angka iaitu 1,086 kes dengan hampir 60 peratus daripadanya adalah kes bergejala yang berpunca daripada jangkitan sporadik.

“Apa yang membimbangkan ialah jangkitan secara sporadik sudah menjadi satu trend di hampir semua daerah di Sabah dan hari ini 59.6 peratus atau 3,029 daripada 5,082 kes adalah dalam kategori ini.

“Statistik tinggi jangkitan secara sporadik bermakna jumlah kes baharu akan berganda dengan lebih cepat. Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) akan menghadapi kesukaran menjejak kes indeks untuk mengenal pasti kontak rapat bagi membendung penularan lebih luas,” katanya dalam kenyataan, petang ini.

Masidi berkata, sebanyak 12 daerah mencatat kes tiga angka hari ini, iaitu Sandakan dengan 500 kes, diikuti Penampang (463 kes), Tuaran (421 kes), Papar (313 kes), Tawau (310 kes), Ranau (266 kes), Lahad Datu (263 kes), Putatan (222 kes), Kota Marudu (216 kes), Keningau (181 kes), Beaufort (144 kes) dan Kota Belud (137 kes).

Katanya, sebanyak 13 daerah lagi mencatat kes dua angka, manakala hanya Kalabakan menjadi daerah tunggal yang tidak mencatatkan sebarang jangkitan baharu hari ini.

Sementara itu, katanya dua kluster baharu institusi pendidikan turut diisytiharkan hari ini iaitu Kluster Jalan Bandau di Kota Marudu dan Kluster Jalan Sokid di Ranau.

“Pada hari ini juga pihak JKNS menamatkan Kluster Kem Bina, Ranau yang didapati sudah tidak lagi aktif. Jumlah kluster yang masih aktif di seluruh Sabah pada masa ini ialah 39 kluster,” katanya.

Dalam pada itu, 99.72 peratus atau 5,068 daripada 5,082 kes hari ini berada dalam Kategori 1 dan 2, manakala tiga kes dalam Kategori 3, 10 kes dalam Kategori 4 dan satu kes dalam Kategori 5.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 16 Februari 2022
Sabah 5,082 (4,374)

Kota Kinabalu 1,086 (752)
Sandakan 500 (647)
Penampang 463 (385)
Tuaran 421 (388)
Papar 313 (233)
Tawau 310 (256)
Ranau 266 (158)
Lahad Datu 263 (196)
Putatan 222 (241)
Kota Marudu 216 (116)
Keningau 181 (144)
Beaufort 144 (158)
Kota Belud 137 (123)
Kuala Penyu 61 (53)
Sipitang 53 (83)
Beluran 52 (45)
Kudat 51 (39)
Kunak 49 (53)
Tambunan 47 (62)
Semporna 45 (45)
Telupid 45 (63)
Kinabatangan 40 (40)
Pitas 34 (32)
Tenom 31 (23)
Nabawan 30 (28)
Tongod 22 (8)
Kalabakan 0 (3)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes 15 Februari 2022

Kluster Baharu

  1. Kluster Jalan Bandau,
    Kota Marudu 96 (+77)
    (Kluster Institusi Pendidikan)
  2. Kluster Jalan Sokid,
    Ranau 28 (+17)
    (Kluster Institusi Pendidikan)

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|