Covid-19 Sabah: Dua lagi kluster institusi pendidikan diisytihar di Sabah

Covid-19 Sabah: Dua lagi kluster institusi pendidikan diisytihar di Sabah

Kota Kinabalu: Dua lagi kluster baharu Covid-19 berkaitan institusi pendidikan diisytiharkan di Sabah hari ini, masing-masing di Kota Marudu dan Ranau.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata di Kota Marudu, Kluster Jalan Bandau yang membabitkan pelajar asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Marudu 1 setakat ini mencatat sebanyak 96 kes positif.

“Kes indeks adalah seorang pelajar lelaki berumur 18 tahun yang dikesan positif Covid-19 melalui saringan bergejala pada 9 Februari lalu.

“Saringan terhadap kontak rapat yang terdiri daripada rakan sebilik dan rakan sekelas mengesan sebanyak 95 kes lagi positif.

“Secara keseluruhannya, jumlah kumulatif ialah 96 kes positif setakat haru ini. Semua kes sudah diasingkan dan diberi rawatan selanjutnya. Kontak rapat yang tidak bergejala juga sudah diberikan perintah kuarantin,” katanya dalam kenyataan, petang ini.

Sementara itu, di Ranau, Masidi berkata Kluster Jalan Sokid disytiharkan membabitkan warga SMK Bundu Tuhan.

Katanya, kes indeks ialah seorang lelaki berumur 24 tahun yang menjadi pekerja kontrak pembersihan di SMK Bundu Tuhan.

“Dia dikesan positif Covid-19 melalui saringan bergejala pada 4 Februari lalu. Saringan dalam kalangan kontak rapat mendapati pertambahan sebanyak 27 lagi kes.

“Secara keseluruhannya, jumlah kumulatif bagi kluster ini ialah 28 kes positif setakat hari ini. Semua kes sudah diasingkan dan diberikan rawatan selanjutnya. Kontak rapat tidak bergejala juga diberikan perintah kuarantin,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|