Kota Kinabalu: Kehebatan fungsi Iphone selain sudah menjadi pengguna setia sejak belasan tahun lalu menambahkan keterujaan untuk menjadi antara pengguna pertama model terbaharu telefon pintar itu di negeri ini.
Penantian dua pengguna peranti pintar itu berakhir pada jam 12.01 tengah malam tadi, apabila masing-masing menerima Iphone 14 Pro Max daripada Maxis Exclusive Partner di Plaza 333, di sini.
Seorang pengguna Iphone 14 Pro Max, Jack Lee, 36, berkata, dia mula menggunakan telefon pintar jenama berkenaan sejak lebih 15 tahun lalu.
Katanya, sebaik mengetahui mengenai pembukaan jualan telefon pintar berkenaan, dia terus mencuba nasib untuk membuat tempahan awal.
“Saya cuba membuat tempahan secara atas talian dan ketika itu saya tersenarai di kedudukan giliran sekitar 3,000 lebih pengguna.
“Namun sebaik mengetahui ia boleh diperolehi di Seng Nyen Telecommunications Sdn Bhd yang merupakan Pengedar Rasmi, Maxis Exclusive Partner di Plaza 333, di sini, saya terus menghubungi mereka dan membuat pembelian,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Menurutnya, dia selesa menggunakan telefon pintar berkenaan kerana lebih stabil dan mesra pengguna berbanding peranti yang menggunakan sistem operasi lain.
Seorang lagi pengguna IPhone 14 Pro Max terawal, R Nandeshwaran, 23, berkata, dia sudah membuat tempatan awal lebih seminggu lalu sebaik mengetahui jualan peranti pintar berkenaan dibuka.
Katanya, selain daripada minat mendalam terhadap jenama berkenaan, reka bentuk menarik serta prestasi memuaskan membuatkannya memilih untuk beralih kepada peranti IPhone 14.
Sementara itu, Ketua Jualan dan Perkhidmatan Pascabayar Maxis, Sabah dan Labuan, Jerry Wong berkata, pihaknya akan menerima lebih banyak bekalan peranti IPhone 14 Plus, Pro dan Pro Max selepas ini.
Katanya, pelanggan yang ingin memiliki peranti yang amat diingini itu boleh menghubungi pusat Maxis secepat mungkin.
-Deasoka