‘Susui Sangod Borneo’ simpan sejarah pemburu kepala

‘Susui Sangod Borneo’ simpan sejarah pemburu kepala

Tuaran: Terletak sekitar 45 minit perjalanan dari pusat bandar raya Kota Kinabalu, sebuah tarikan pelancongan terbaharu yang didedikasikan terhadap usaha mendokumentasi dan memelihara sejarah pemburu kepala Borneo sedia untuk dikunjungi orang ramai.

Dikenali sebagai ‘Susui Sangod Borneo’, pameran artifak pedang daripada pelbagai kumpulan etnik yang berbeza selain yang digunakan askar Jepun suatu masa dahulu pastinya menaikkan rasa ingin tahu pengunjung yang datang.

Kurator pusat pameran itu, Padiman Jabau berkata, kebanyakan artifak yang dipamerkan merupakan simpanan peribadi yang telah diturunkan dari generasi ke generasi atau diperoleh daripada Muzium Lotud Borneo.

“Pusat pameran Susui Sangod Borneo ini bukan sahaja lain daripada yang lain tetapi juga merupakan lubuk ilmu dan sejarah yang harus dikongsi dengan semua orang, khususnya generasi muda.

“Usaha ini dilakukan untuk memastikan sejarah pemburu kepala dan adat-adat orang asli Borneo terus ‘dihidupkan’ dan tidak ditelan zaman,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Terletak dalam perkarangan Taman Buaya Tuaran yang popular, di sini, pusat pameran itu dikendalikan dengan kerjasama Muzium Lotud Borneo.

Katanya, selain memberi fokus terhadap sejarah pemburu kepala di Sabah, pusat pameran itu turut mempamerkan pelbagai peralatan antik daripada tembaga yang digunakan pada zaman dahulu.

Sementara itu, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai berkata, penambahan satu lagi tarikan pelancong itu meletakkan daerah Tuaran pada kedudukan yang baik untuk dijadikan sebagai hab pelancongan.

Ketika merasmikan pameran itu baru-baru ini, Joniston menggambarkannya sebagai produk pendidikan yang membolehkan pengunjung memahami lebih lanjut mengenai warisan asli Sabah, selain untuk mengingatkan rakyat tempatan signifikan tradisi mereka.

Pada Januari lalu, Taman Buaya Tuaran telah menandatangani perjanjian kolaborasi bersama Muzium Lotud Borneo dan Chanteek Borneo untuk mengubah suai ruangan rumah panjang yang tidak digunakan menjadi Makmal Warisan Momogun.

Pengurus Taman Buaya Tuaran, Engalbert Awing berkata, makmal itu bakal berfungsi sebagai pusat rekreasi mesra keluarga yang menawarkan aktiviti-aktiviti berkisarkan budaya.

Jelas beliau, sebelum ini rumah panjang itu diguna pakai untuk persembahan tarian tradisional kepada pengunjung sebagai aktiviti sampingan sebelum sektor pelancongan ditutup akibat pandemik Covid-19.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|