Terpulang kepada rakyat untuk menerima parti lain: Azizah

Terpulang kepada rakyat untuk menerima parti lain: Azizah

Kota Kinabalu: Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Datuk Seri Azizah Mohd Dun terbuka dengan hasrat parti lain yang ingin melancarkan parti di negeri ini.

Katanya, sebagai negara yang mengamalkan demokrasi mana-mana parti boleh datang ke negeri ini.

“Ini negara demokrasi, siapa saja mahu buka parti datang sini tiada masalah. Terpulang kepada rakyat untuk menerima mereka.

“Bagi saya, ini negara demokrasi dan kita terbuka. Kita tidak boleh menghalang orang (parti) untuk datang,” katanya kepada pemberita pada Majlis Iftar Perdana Majlis Amanah Rakyat (MARA) di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta memberi pandangan berhubung usaha Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang kini sedang melakukan siri jelajah untuk pelancaran parti di negeri ini.

Diminta mengulas lanjut sama ada kehadiran parti itu akan memberi saingan kepada BERSATU dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), beliau yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata, pihaknya sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya.

“Kita sudah bersiap sedia bekerja kuat terutama sekali Srikandi. Jadi kita memang sudah bekerja dari bawah sana.

“Kehadiran mereka amat dialu-alukan,” katanya ringkas.

Selasa lalu, Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir memaklumkan akan melancarkan parti itu di Sabah pada 22 Mei depan.

Sementara itu, Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula menyatakan parti itu sedang giat melakukan jelajah di negeri ini sebelum dilancarkan dalam masa terdekat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|