Sandakan: Semua kerusi ditandingi Barisan Nasional (BN) dan UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan kekal milik BN pada PRU-15.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata ia termasuk semua kerusi tradisi UMNO Sabah yang pemimpinnya keluar parti sebelum ini.
Katanya, keputusan itu seiring dengan apa yang diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini, selain mengambil kira suara akar umbi yang mahu kerusi tradisi terbabit kekal milik UMNO dan BN.
“Ini keputusan daripada PAU yang lalu dan dikekalkan PAU yang baru-baru ini yang mana kerusi yang UMNO dan BN bertanding PRU-14 itu perlu ditandingi semula oleh UMNO.
“Ini bermakna termasuk kerusi yang lompatlah kita tidak boleh serahkan kerusi kita kepada mana-mana pihak secara percuma.
“Mungkin kita boleh berunding, tapi UMNO menegaskan itu kerusi BN dan perlu ditandingi oleh BN. Ini memang kekal sebab ia keputusan keseluruhan ahli parti diperingkat akar umbi,” katanya pada sidang media ketika Majlis Berbuka Puasa UMNO Kinabatangan, di sini, malam tadi.
Pada PRU-14, BN bertanding di semua 25 kerusi Parlimen di Sabah dan memenangi 10 daripadanya dengan tujuh kerusi dimiliki UMNO.
Bagaimanapun, selepas PRU-14, semua parti komponen BN kecuali Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) meninggalkan gabungan berkenaan, manakala enam Ahli Parlimen UMNO turut keluar parti pada Disember 2018.
Hanya kerusi Parlimen Kinabatangan yang disandang Bung Moktar kekal di bawah UMNO sebelum ditambah kerusi Parlimen Kimanis yang dimenangi semula BN melalui Pilihan Raya Kecil (PRK) pada Januari 2020.
Sehingga kini BN Sabah memiliki tiga kerusi Parlimen termasuk Pensiangan yang disandang Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup.
Isu agihan kerusi pada PRU-15 di Sabah timbul berikutan parti dalam Gabungan Rakyat Sabah – BN (GRS-BN) masing-masing menuntut untuk bertanding di kerusi yang diwakili atau diminati.
-Deasoka