Nelayan hilang di laut

Kudat: Seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke laut dalam kejadian di kawasan perairan laut Bak-Bak, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, lelaki berusia 29 tahun terbabit dipercayai terjatuh daripada bot ketika sedang dalam perjalanan balik ke Jeti Aseng.

Pasukan bomba menjalankan operasi pencarian mangsa di kawasan pesisir pantai.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.40 malam.

Katanya, sepasukan tiga anggota dan pegawai bersama van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba terus menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan pantai.

“Pasukan operasi turut mendapatkan maklumat lanjut daripada ahli keluarga dan penduduk sekitar,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, operasi pencarian gagal menemui mangsa dan terpaksa ditangguhkan pada jam 10.22 malam.

“Operasi pencarian disambung semula pada jam 6 pagi tadi dan sebarang maklumat lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|