Terpisah sejak usia setahun, Athi mohon bantuan cari keluarga kandung

Terpisah sejak usia setahun, Athi mohon bantuan cari keluarga kandung

Kota Kinabalu: Seorang lelaki memohon orang ramai supaya membantu mencari ahli keluarga kandungnya yang dikatakan berasal dari daerah Penampang.

Athi Narayan, 39, berkata, dia hanya mengetahui mengenai perkara berkenaan daripada ibu angkatnya sejak lima tahun lalu.

Athi Narayan, 39.

Katanya, menurut ibu angkatnya, nama kedua ibu bapa kandungnya adalah Malah Adjet dan Jomda Ensun.

Katanya lagi, dia dilahirkan pada 9 Jun 1983 sebelum diberikan kepada keluarga angkat ketika berusia kurang setahun.

“Saya diberikan kepada pasangan India yang beragama Hindu untuk dijadikan anak angkat kerana situasi mencabar yang dialami ibu bapa kandung ketika itu.

“Saya kemudiannya membesar di Selangor sejak berusia 4 tahun dan apabila ayah angkat saya meninggal dunia, saya dijaga oleh ibu angkat saya dengan sokongan ahli keluarga lain,” katanya kepada Deasoka ketika ditemui, baru-baru ini.

Athi berkata, dia yang kini masih menetap di Selangor bersama isteri dan dua anak ada diberikan gambar potret hitam putih kedua ibu bapa kandungnya yang berbentuk gambar pasport.

“Maklumat ini saja yang ada dan kebanyakan maklumat lain sudah dilupai oleh ibu angkat saya.

“Saya juga difahamkan sebagai anak bongsu dalam keluarga asal dan mungkin mempunyai 3 atau 4 adik beradik lagi,” katanya.

Athi berkata, dia amat berharap agar dapat bertemu semula dengan ahli keluarga kandung serta sanak saudara lain.

“Saya berharap dapat bertemu semula dan mengenali ahli keluarga sebenar bagi memahami diri dengan lebih sempurna.” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|