Akibat berselisih faham, suami nekad bakar rumah

Akibat berselisih faham, suami nekad bakar rumah

Keningau: Tindakan seorang lelaki sanggup membakar rumahnya sendiri selepas berselisih faham dengan isteri membawa padah apabila melecur di bahagian badan dalam kejadian di Kampung Kiukad Lotong, Tambunan, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, mangsa berusia 62 tahun terbabit mengalami kecederaan akibat melecur di bahagian badan.

Rumah mangsa terbakar sepenuhnya dalam kejadian di Kampung Kiukad Lotong, Tambunan.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, pihak polis menerima panggilan telefon dari orang awam mengenai kejadian itu pada jam 10.36 malam dan seterusnya memaklumkan kepada pihak bomba.

“Hasil siasatan mendapati mangsa yang juga pemilik rumah berkenaan telah berselisih faham dengan isterinya dan sanggup membakar rumahnya sendiri.

Mangsa dihantar ke hospital selepas mengalami kecederaan melecur di bahagian badan dalam kejadian di Kampung Kiukad Lotong, Tambunan.

“Dalam kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan dan menurut saksi, badan mangsa melecur terkena api ketika sedang menyalakan api,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya lagi, akibat kejadian itu mangsa mengalami kecederaan dan rumahnya musnah dijilat api selain sebuah kenderaan rosak.

“Mangsa melecur di bahagian badan sebanyak 40 peratus manakala isteri mangsa selamat kerana tidak berada di lokasi kejadian,” katanya.

Nor Rafidah berkata, kes masih dalam siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian dan anggaran kerugian masih belum diketahui.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan dikejar ke lokasi kejadian.

Katanya, sebuah rumah jenis tidak kekal musnah terbakar 100 peratus dan sebuah kenderaan jenis Isuzu D-Max terbakar 30 peratus.

“Jentera bomba mengalami kesukaran untuk ke lokasi mangsa kerana laluan sempit dan terpaksa menggunakan kenderaan pacuan empat roda sejauh dua kilometer dari jalan besar untuk ke lokasi.

“Sebaik tiba, terdapat seorang mangsa dilaporkan mengalami kecederaan iaitu melecur di bahagian badan dan mangsa diberi rawatan awal sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan selanjutnya,” katanya.

Katanya lagi, operasi dilaporkan terkawal pada jam 11.10 malam dan ditamatkan pada jam 12.10 tengah malam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|