LDP mampu tingkatkan kemampuan ketua dan timbalan di setiap balai polis

LDP mampu tingkatkan kemampuan ketua dan timbalan di setiap balai polis

Kota Kinabalu: Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) yang dilaksanakan kepada setiap Ketua Polis Balai (KPB) mampu meningkatkan pengetahuan mereka dalam melaksanakan penugasan dan tanggungjawab masing-masing.

Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Sabah, Datuk Zabidi Md Zain berkata, latihan yang diterapkan selama lima hari itu juga sekaligus menambahkan kemampuan KPB.

Katanya, latihan ini juga mampu memupuk keperibadian serta nilai-nilai integriti sebagai seorang pemimpin.

“Latihan kali ini membabitkan seramai 61 peserta terdiri daripada Ketua Polis Balai dan Timbalan Ketua Polis Balai seluruh Sabah untuk memberi pendedahan berhubung arahan-arahan semasa.

“Selain itu, ianya juga dapat mewujudkan hubungan komunikasi yang baik antara rakan sekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penutup LDP KPB Kontinjen Sabah di Mess Pegawai Kanan, IPK Sabah, di sini, semalam.

Hadir sama PT Pentadbiran IPK Sabah Deputi Superintendan Rohana Ak Nanu, PT Perkhidmatan dan Perjawatan IPK Sabah Deputi Superintendan Suriawati Shukri, PT Perlesenan IPK Sabah Deputi Superintendan Ab Salam Aiyob.

Ia turut dihadiri PT Latihan dan Sukan IPK Sabah Asisten Superintendan Adziah Lambun, ASP Hea/PP IPK Sabah Asisten Superintendan Siti Norlilah Latip, serta Pegawai Rendah Polis yang terlibat.

Menurutnya, ia juga dapat membantu meningkatkan integriti dan penyampaian perkhidmatan yang berkualiti kepada masyarakat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|