Kota Kinabalu: Sebahagian petugas kesihatan termasuk doktor, doktor pakar dan jururawat yang terlibat merawat serta menangani penularan pandemik Covid-19 di negeri ini diraikan dalam satu majlis makan malam penghargaan bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, malam tadi.
Hajiji berkata, majlis itu sudah lama dirancang untuk diadakan sebagai penghargaan kepada barisan petugas kesihatan di negeri ini.
“Sudah lama saya mahu mengadakan majlis ini untuk memberi penghargaan kepada barisan doktor, doktor pakar dan jururawat yang terbabit dalam pandemik ini, termasuk mereka yang telah merawat saya dan isteri saya di hospital.
“Namun disebabkan ketika itu ada kekangan termasuk pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), baharu malam ini majlis dapat dilaksanakan. Saya bersyukur malam ini niat saya kesampaian (tertunai) selepas setahun lebih, ” katanya dalam majlis makan malam itu.
Beliau dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada petugas yang terlibat menanggani pandemik Covid-19.
“Saya merakamkan terima kasih kepada semua mereka yang terlibat merawat dan menangani pandemik itu di Sabah khususnya unit COVID.
“Sebenarnya, memang ramai yang terlibat jika dikira sepenuhnya di seluruh Sabah, tetapi malam ini kita buat untuk yang di Kota Kinabalu dulu setakat ini. Terima kasih kepada semua,” katanya.
Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong dan
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Rose Nani Mudin.
Pada majlis itu, Hajiji turut beramah mesra dengan petugas kesihatan yang hadir selain berpeluang bertemu dengan doktor dan jururawat yang menjaganya dan isteri
sepanjang ketika menerima rawatan.
Beliau turut melahirkan rasa bersyukur kerana selepas pelancaran pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) pada Mac tahun lalu, banyak program berimpak tinggi sudah mula dilaksanakan.
“Walaupun dilanda pandemik, saya tetap pastikan dasar kerajaan dapat dijalankan
sama ada secara fizikal atau maya.
“Saya sebenarnya jarang bercakap soal politik di surat khabar sebab tumpuan saya adalah untuk membangunkan dan memulihkan semula ekonomi negeri ini,” katanya.
-Deasoka