Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah dicadangkan supaya mewujudkan zon pelaburan khas bagi sektor pelancongan di negeri ini.
Setiausaha Politik Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Mohd Kurniawan Naim Moktar berkata, fokus utama adalah untuk meningkatkan kerjasama dan sesi libat urus di antara industri pelancongan dan pelabur asing yang berminat untuk melabur di Sabah.
“Saya yakin Sabah akan terus menjadi pilihan pelabur asing sekiranya semua pihak dapat menjalin kerjasama yang baik serta membantu memudah cara proses kemasukan mereka ke negeri ini.
“Sabah mempunyai potensi yang tinggi untuk dimajukan khususnya dalam sektor pelancongan. Oleh itu, kerajaan perlu menggunakan kaedah baharu yang bukan saja bersifat mesra pelabur tetapi juga tata cara yang penting dalam memudahkan urusan pelaburan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau lagi, prosedur yang menyukarkan pelabur untuk membuat pelaburan di Sabah juga perlu ditambah baik.
“Ini bagi memastikan mereka gembira untuk menjalankan urusan di sini.
“Saya yakin tindakan proaktif kerajaan negeri sangat penting dalam meletakkan Sabah sebagai destinasi pilihan pelaburan berimpak tinggi,” katanya.
-Deasoka