Rampas 17.5 tan metrik minyak masak bersubsidi cuba diseleweng

Rampas 17.5 tan metrik minyak masak bersubsidi cuba diseleweng

Sandakan: Memindahkan minyak masak bersubsidi pek satu kilogram ke dalam tong hitam lalu memasukkan ke dalam lori tangki sebelum dihantar untuk pasaran industri ataupun ke negara jiran.

Itulah kegiatan penyelewengan yang dilakukan sekumpulan lelaki yang berjaya dibongkar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penguna (KPDNHEP) selepas menyerbu sebuah rumah sewa di Batu 9, di sini, semalam.

Azdy (kanan) bersama pasukan operasi memeriksa lori yang diubahsuai untuk menyembunyikan minyak masak subsidi dalam sebuah tangki.

Dalam serbuan jam 4.30 petang itu, pasukan operasi merampas sebanyak 17.5 tan metrik minyak masak yang dianggarkan bernilai RM98,750.

Ketua Pegawai KPDNHEP Sandakan, Azdy Zukkry John berkata, sebelum serbuan dijalankan, sindiket berkenaan sedang sibuk menjalankan kerja-kerja memotong plastik minyak masak pek satu kilogram.

Azdy memeriksa lori yang digunakan oleh suspek.

Katanya, pasukan operasi terus menyerbu rumah berkenaan yang menyebabkan beberapa individu bertempiaran diri cuba meloloskan diri.

“Hasil serbuan itu, pasukan operasi berjaya merampas 17.5 tan metrik minyak masak. Kita mengsyaki mereka menjalankan aktiviti menyeleweng dengan cara memotong minyak masak bersubsidi ke dalam tong hitam.

Pek minyak masak yang dipotong sebelum dipindahkan ke dalam tong hitam.

“Ia kemudiannya dimasukkan ke dalam lori tangki untuk dihantar pasaran industri ataupun dihantar ke negara jiran,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Azdy berkata, lori tangki yang digunakan sindiket berkenaan adalah lori pengangkut biasa yang diubah suai.

Katanya, siasatan awal mendapati kegiatan berkenaan disyaki sudah dijalankan sejak setahun lalu.

“Ketika serbuan, seorang lelaki berusia 30 tahun ditahan dan suspek mengakui sanggup mengambil risiko besar kerana mendapat keuntungan yang sangat lumayan.

“Siasatan mendapati semua minyak masak yang berjaya dirampas dianggarkan bernilai RM98,750 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya.

Azdy berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Akta Bekalan 1961.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|