Hospital Semporna perlu dinaik taraf sebagai hospital pakar

Hospital Semporna perlu dinaik taraf sebagai hospital pakar

Semporna: Hospital Semporna perlu dinaik taraf kepada hospital pakar bagi mengurangkan pergantungan menghantar pesakit mendapatkan rawatan pakar di Hospital Tawau yang jaraknya lebih 100 kilometer.

Pegawai Kesihatan Daearh Semporna, Dr Shameer Khan Sulaiman, berkata perkhidmatan hospital pakar sangat diperlukan di daerah ini sejajar pertambahan penduduk, selain kedudukannya yang menjadi tumpuan pelancong.

“Memang keperluan menaik taraf Hospital Semporna kepada hospital pakar amat perlu memandangkan kadar peningkatan penduduk kita dan kadar kedatangan pelancong yang meningkat.

“Perlu ada hospital pakar supaya kita boleh kurangkan pergerakan dari Hospital Semporna ke Hospital Tawau yang mana masa perjalanannya panjang, jadi banyak risiko yang dihadapi,” katanya, di sini.

Beliau berkata, walaupun belum ada kes melibatkan kematian pesakit dalam perjalanan ke Tawau namun perkara itu perlu mendapat perhatian Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kita ada doktor yang terlatih dan Hospital Semporna pun ada kelengkapan yang bagus cuma tiada doktor pakar. Sebab itu pesakit kita hantar ke Hospital Tawau untuk tindakan selanjutnya.

“Perbincangan dengan pihak KKM memang ada, sudah dalam perancangan dan dalam proses untuk dimuktamadkan. Jadi, insyaAllah KKM akan melihat perkara ini,” katanya.

Ketika ini, Hospital Semporna berada dalam kategori hospital kluster tanpa pakar dan mempunyai seramai 20 orang doktor.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|