RM380,000 naik taraf Klinik Kesihatan Pulau Bum-Bum

RM380,000 naik taraf Klinik Kesihatan Pulau Bum-Bum

Semporna: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meluluskan peruntukan RM380,000 untuk menaik taraf dan melaksanakan kerja pembaikan Klinik Kesihatan Pulau Bum-Bum, di sini.

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata klinik kesihatan berusia lebih 10 tahun itu perlu dinaik taraf bagi memenuhi keperluan perkhidmatan kepada penduduk pulau itu.

Beliau berkata, lebih 40,000 penduduk memerlukan perkhidmatan yang ditawarkan klinik berkenaan untuk mendapat rawatan kesihatan, pergigian selain klinik ibu dan anak.

“Ada beberapa kerosakan di bahagian belakang, saluran paip, pendawaian dan perumahan kakitangan klinik ini yang memerlukan pembaikan segera.

“Peruntukan itu juga digunakan untuk menyediakan satu unit Pusat Bersalin Alternatif bagi memudahkan ibu yang mahu bersalin tanpa perlu ke Hospital Semporna,” katanya ketika mengadakan lawatan ke Klinik Kesihatan Pulau Bum-Bum, di sini, hari ini.

Katanya, KKM memahami kesukaran ibu yang mahu bersalin memandangkan perlu ke tanah besar di pekan Semporna untuk mendapatkan perkhidmatan bersalin di hospital.

Jelasnya, dengan purata kelahiran di Pulau Bum-Bum lebih 40 orang sebulan, sebuah pusat bersalin di pulau itu sangat diperlukan supaya dapat menjimatkan masa, perbelanjaan dan meringankan beban mereka penduduk.

Beliau berkata, KKM juga berusaha supaya klinik kesihatan di pulau itu menjadi lebih baik sama ada dari segi kemudahan atau perkhidmatan.

“Buat masa ini, klinik kesihatan di pulau ini hanya menempatkan tiga orang doktor termasuk seorang di bahagian pergigian dan KKM juga akan berusaha untuk meletakkan pakar mengikut keperluan.

“KKM akan cuba meningkatkan prestasi perkhidmatan di setiap klinik dan hospital di negara ini supaya rakyat tidak mengalami kesusahan untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|