PBS tak perlu tukar nama – Joniston

PBS tak perlu tukar nama – Joniston

Kota Kinabalu: Tiada keperluan menukar nama atau menjenamakan semula Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam menyesuaikan diri dengan situasi politik semasa.

Setiausaha Agungnya, Datuk Joniston Bangkuai, berkata PBS sudah menjadi jenama yang kuat selama 37 tahun kewujudannya dan terus kekal relevan.

Beliau berkata, sepanjang kewujudan PBS sejak 1985, parti itu mengharungi pelbagai ujian tanpa melalui proses penjenamaan semula.

“PBS menjadi jenama tersendiri yang boleh dibanggakan dan tiada keperluan untuk menukarkan nama parti.

“Sebaliknya, apa yang penting ialah memastikan parti kekal cergas mengikut keadaan semasa dan semua ahli memahami sepenuhnya serta menjiwai perjuangan parti supaya kita boleh menjawab dengan fakta terhadap sebarang kritikan yang dilemparkan terhadap parti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Jelajah Penerangan PBS, di sini, semalam.

Turut hadir ialah Ketua Penerangan PBS, Datuk Julita Majungki.

Dalam ucapan beliau, Joniston berkata PBS berada di landasan yang betul dan menggesa agar semua ahlinya menanam rasa bangga berjuang bersama parti itu.

Tegasnya, hanya melalui rasa kebanggaan ahli mempunyai tanggungjawab yang tinggi untuk mempertahankan parti dan kepemimpinannya.

“Penting juga untuk kita kekal bertenaga agar menjadi lebih agresif terutama di media sosial. Kita tidak harus bersikap defensif tetapi bersedia membidas tohmahan.

“Sebagai ahli, kita juga harus berani bersuara dan memberi teguran membina kepada pucuk pimpinan sekiranya terdapat sebarang kesalahan atau kelemahan.

“Dalam pada itu, kepemimpinan parti juga perlu bersikap terbuka menerima kritikan daripada ahli,” katanya.

Joniston yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri berkata, itulah reformasi yang diperlukan bagi memartabatkan lagi kekuatan PBS.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|