Lembu punya pasal, ambulans bawa pesakit kemalangan

Lembu punya pasal, ambulans bawa pesakit kemalangan

Kota Belud: Lima individu berdepan detik cemas apabila ambulans yang dinaiki mereka merempuh sekawanan lembu di Jalan Kota Belud-Kota Marudu, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, semua individu terbabit iaitu doktor, jururawat, pemandu, pesakit dan keluarga pesakit terselamat.

Namun empat ekor lembu maut akibat dilanggar kenderaan ambulans berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, hasil siasatan mendapati ambulans milik Hospital Kudat dan pemandunya ketika itu sedang dalam tugas rasmi membawa pesakit ke hospital di Kota Kinabalu.

“Sebaik tiba di lokasi ketika berada di jalan yang lurus, tiba-tiba kawanan lembu berlari dan melintas jalan dari arah kanan ke kiri jalan.

“Disebabkan jarak yang sudah terlalu dekat, pemandu ambulans tidak dapat mengelak lalu melanggar lembu berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya lagi, akibat kejadian itu lembu-lembu berkenaan mati di atas jalan dan sehingga kini belum ada individu yang mengaku sebagai pemilik haiwan berkenaan.

“Empat ekor lembu berkenaan sudah tidak bernyawa dan tiada sesiapa yang mengaku pemilik haiwan berkenaan.

“Dalam kejadian itu juga, pemandu dan penumpang iaitu doktor, jururawat, pesakit dan seorang lagi ahli keluarga pesakit dilaporkan selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Shahrudin bagaimanapun berkata, kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).

“Orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu dan mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.

Sebelum itu, kejadian berkenaan turut dikongsikan di media sosial dan tular sejak pagi tadi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|