Rafflesia mekar di Taman Pertanian Sabah, Tenom

Rafflesia mekar di Taman Pertanian Sabah, Tenom

Tenom: Bunga Rafflesia biasanya ditemui tumbuh secara liar di hutan seperti di sekitar Taman Kinabalu di Ranau dan Taman Banjaran Crocker di Keningau serta Tambunan.

Namun, siapa sangka inisiatif Taman Pertanian Sabah, Lagud Seberang, Tenom memulihara spesies bunga unik itu membolehkan bunga berkenaan dapat dilihat di dalam taman.

Bunga Rafflesia berkembang mekar di Taman Pertanian Sabah, Tenom. Gambar Samuel Tihoi / Facebook Taman Pertanian Sabah

Menerusi hantaran di laman Facebook Taman Pertanian Sabah, hari ini, sekuntum bunga Rafflesia dari spesies keithii kini sedang berkembang mekar di taman berkenaan.

“Berita baik buat semua, Rafflesia keithii kini sedang berbunga di TPS (Taman Pertanian Sabah). Bunga mekar sehingga tiga hari sebelum layu.

“Lazimnya, Rafflesia hanya berbunga di dalam hutan, dan TPS telah mengambil langkah untuk memelihara dan memulihara bunga ini dari kepupusan dengan kaedah ‘whip grafting’.

“Datanglah menyaksikan fenomena Rafflesia berbunga dalam taman buatan yang tidak ada di tempat lain di Malaysia,” kata hantaran Facebook TPS.

Rafflesia keithii adalah antara spesies Rafflesia iaitu sejenis tumbuhan parasit yang biasanya tumbuh liar di dalam hutan dengan diameter bunga boleh mencapai hingga semeter.

Ia dinamakan bersempena nama Konservator Hutan Borneo Utara, Henry George Keith.

Rafflesia adalah antara spesies bunga terbesar di dunia.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|