Guru ikon masyarakat di pedalaman

Guru ikon masyarakat di pedalaman

Tongod: Guru bukan saja berperanan sebagai penyampai ilmu tetapi perlu menjadi ikon kepada golongan masyarakat dan pelajar terutama di kawasan pedalaman.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, walaupun guru terpaksa menempuh rintangan dan cabaran ketika mengajar di kawasan pedalaman namun mereka tetap cekal demi mendidik anak bangsa.

“Banyak kekangan dan cabaran yang dihadapi terutama guru-guru yang dihantar bertugas merentasi hutan dan sungai seperti di daerah Tongod dan Telupid ini, tetapi mereka tetap bersemangat mendidik anak bangsa.

“Tidak semua guru bernasib baik dapat berkhidmat di kawasan bandar dan masih ramai pendidik terpaksa melalui pelbagai kesukaran ketika ditugaskan jauh di kawasan perkampungan yang daif,” katanya ketika melancarkan program Gerakan Massa sempena Hari Guru peringkat daerah Tongod dan Telupid, semalam.

Hadir sama ialah ADUN Telupid, Jonnybone J Kurum dan Pegawai Pendidikan Daerah, Barizah Mohd Kahar.

Masiung berkata, kekurangan pelbagai infrastruktur selain ketiadaan akses internet juga merupakan cabaran untuk mereka.

“Saya faham ramai guru terpaksa berdepan dengan cabaran getir kerana ditempatkan di kawasan pedalaman tanpa sebarang kemudahan infrastruktur.

“Mereka bukan saja terasing dari alam maya disebabkan ketiadaan internet, malah sekolah tempat mereka bertugas terlalu daif selain tiada kemudahan jalan raya, bekalan air dan elektrik, ” katanya

Bertepatan dengan majlis itu, Masiung berkata, orang ramai perlu menghargai peranan pendidik kerana guru yang banyak membantu seseorang sebelum menyandang pelbagai kerjaya.

Terdahulu, Masiung dan Jonnybone turut menyertai konvoi bersama 80 kenderaan dan berarak ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sogo-Sogo dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Entilibon, di sini di mana peserta konvoi disambut dengan perbarisan murid.

Jonnybone kemudiannya diberi penghormatan menyempurnakan upacara penutupan rasmi di SK Telupid.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|