Kota Kinabalu: Seramai 11 warga asing termasuk pelayan pelanggan (GRO) kelab malam antara ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi yang dijalankan Anjung Samudera, The Waterfront, di sini, kelmarin.
Malah dalam operasi berkenaan, seorang lelaki juga cuba terjun dari tingkat satu bangunan berkenaan untuk meloloskan diri namun gagal selepas berjaya dikesan pasukan operasi.
Pengarah JIM Sabah, Sharifah Sitti Saleha Habib Yusof berkata, operasi ‘Op Gegar’ itu dijalankan di dua premis hiburan kelab malam di kawasan berkenaan.
Katanya, sebaik diserbu, seramai 137 orang diperiksa sebelum 11 individu berusia 22 hingga 36 tahun ditahan.
“Individu yang ditahan membabitkan empat lelaki dan enam wanita warga Filipina serta seorang lelaki warga Indonesia.
“Ketika serbuan dilakukan, pasukan operasi mendapati ada warga asing yang berhibur sebagai pelanggan selain turut disyaki sebagai pekerja di premis berkenaan ,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, semua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan mengikut Peraturan-peraturan Imigresen 1963 serta Akta Imigresen 1959/63
Sehubungan itu, Sharifah Sitti Saleha berkata, operasi di premis hiburan seperti ini akan dipergiat dan diteruskan dari semasa ke semasa.
Katanya, ia adalah usaha membanteras PATI khususnya yang disyaki terlibat dalam aktiviti-aktiviti tidak bermoral.
“JIM Negeri Sabah akan terus komited dalam usaha untuk membanteras dan mencegah kehadiran PATI di negeri Sabah.
“JIM juga memberi amaran kepada orang awam khususnya majikan supaya mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan Imigresen yang dikuatkuasakan.
“Saya juga dengan tegasnya mengingatkan pihak yang terlibat supaya tidak memperlekeh dan melanggar undang-undang Imigresen.
“JIM tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuklah hukuman berat tanpa kompromi kepada mereka,” katanya.
Menurutnya, orang ramai juga dinasihatkan supaya memberikan kerjasama dan melaporkan kepada pihak berkuasa khususnya JIM sekiranya mendapati kehadiran PATI atau aktiviti seumpama ini.
-Deasoka