Sabah FC siap sedia tumpaskan Sri Pahang – Kim Swee

Sabah FC siap sedia tumpaskan Sri Pahang – Kim Swee

Kota Kinabalu: Sabah FC yakin dapat mengekalkan momentum kemenangan apabila melayan kunjungan Sri Pahang FC di Stadium Likas, malam esok.

Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee berkata kemenangan itu penting untuk memastikan kedudukan skuad Sang Badak dalam Liga Super sentiasa terjamin.

Kemenangan menentang Pahang juga katanya penting, lebih-lebih lagi Sabah FC beraksi di hadapan penyokong dan penonton sendiri.

“Kita anggap perlawanan menentang Sri Pahang FC malam esok sebagai satu perlawanan yang saya percaya sangat penting.

“Ini bukan sahaja untuk memastikan kita mencapai momentum kemenangan berterusan tetapi kita mahu mempamerkan aksi cemerlang bermain di gelanggang sendiri,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kim Swee berkata, selepas menentang Sri Pahang FC, Sabah FC akan berdepan dua lagi perlawanan sangat penting di tempat lawan iaitu bertemu Selangor FC pada 28 Jun dan Negeri Sembilan FC pada 3 Julai depan.

Sementara itu, mengulas perlawanan persahabatan antarabangsa di Indonesia baru-baru ini, Kim Swee berkata tempoh rehat selama sebulan digunakan sebaiknya oleh Sabah FC bagi mendapatkan kombinasi serta memperbaiki kelemahan yang ada.

“Kita percaya selepas tiga perlawanan di Indonesia, Sabah FC mempelajari banyak aspek kekuatan dan kelemahan jadi ini penting untuk kita bersiap sedia menghadapi pasukan Sri Pahang FC malam esok,” katanya.

Mengenai pemain yang akan diturunkan esok, Kim Swee berkata hanya dua pemain yang berkemungkinan tidak dapat diturunkan iaitu Naim dan Dirga kerana mengalani kecederaan.

“Selain itu semua pemain berada pada tahap yang cukup baik. Saddil kita tahu bersama pasukan Indonesia sama ada Bawah 23 mahupun pasukan senior Indonesia.

“Beliau pasti mengalami sedikit keletihan tetapi kita akan lihat sejauh mana kepenatan Saddil ketika bersama pasukan Indonesia untuk saya pertimbangkan sama ada diturunkan ataupun tidak malam esok,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|